AKTIVITI mengendalikan pesawat kawalan jauh atau Remote Control Plane (RC Plane) mungkin sesuatu yang amat jarang dilihat oleh kebanyakan orang terutamanya generasi muda di negara ini.
RC Plane sebenarnya begitu popular dan menjadi kegilaan dalam kalangan peminat dunia penerbangan sama ada di dalam mahupun luar negara.
Amirul Hakimi Ahamd, 26 adalah antara peminat RC Plane yang sanggup berhabis wang ringgit kerana baginya hobi itu mampu beri kepuasan buat dirinya.
Bercerita mengenai pembabitan awal kepada Majoriti, Amirul berkata minatnya mula timbul secara tidak sengaja apabila terbaca mengenai RC Plane di Facebook.
Amirul Hakimi (tiga dari kiri) bersama Kelab RC Plane Kuantan.
"Ketika itu saya cuba mengikuti beberapa group RC Plane di Facebook untuk mengetahui lebih lanjut tentang hobi ini. Bila menonton foto-foto dan klip-klip penerbangan yang dikongsikan komuniti itu, saya mula rasa minat.
"Selepas membuat pencarian di YouTube dan beberapa review, saya terus beli pesawat pertama dengan modal RM200 untuk ambil feeling saja. Model glider ini memang sesuai untuk beginner seperti saya.
"Bila tonton review nampak macam senang, tapi sebenarnya agak rumit. Percubaan pertama saya untuk terbangkan pesawat itu gagal apabila ia jatuh dan mengakibatkan kipas pesawat itu patah.
“Selepas kejadian itu saya terus minta pendapat dan pertolongan daripada group komuniti RC Plane. Alhamdulillah, ada seorang pak cik bantu beri tunjuk ajar untuk terbangkan pesawat dan sejak itu minat saya makin mendalam," katanya yang akui pernah hampir berputus asa meneruskan hobinya itu.
Setiap koleksi RC Plane yang dimiliki Amirul Hakimi memiliki karakter berbeza dan memerlukan kemahiran untuk mengendalikannya.
Anak jati Pekan, Pahang ini berkata, sepanjang melibatkan diri dalam aktiviti penerbangan itu, dia telah memiliki lebih tiga pesawat yang memiliki ciri-ciri dan keistimewaan yang tersendiri.
“Pesawat ni ada banyak kategori yang mana setiap satunya ada karektor yang berlainan. Jadi sebagai pengendali pesawat, kita perlu mengetahui setiap karektor pesawat agar dapat melakukan penerbangan yang baik.
“Kepakaran seorang pemain pesawat kawalan jauh ini juga boleh ditentukan menerusi kemahiran mereka mengendalikan pesawat ketika take off dan landing,” katanya yang mengharapkan wabak Covid-19 akan segera berakhir agar aktiviti RC Plane dapat dijalankan.
Foto kenangan Amirul Hakim bersama pengendali RC Plane ketika menyertai Acara Fun Fly di Pulau Pangkor.
Bagi Amirul, RC Plane bukan setakat hobi kerana ia mengajarnya menjadi seorang yang lebih fokus dan kuat semangat.
“Memang makan modal untuk memiliki hobi ini tapi bagi saya ia sangat berbaloi dan kalau ikutkan hobi-hobi yang lain juga ada harganya yang tersendiri.
“Saya seronok sebab RC Plane ini juga saya, dapat mengenali lebih ramai kawan daripada pelbagai latar belakang yang berkongsi minat yang sama.
“Nasihat saya bagi yang mahu memilih RC Plane sebagai hobi, mereka perlu meminta pendapat pengendali berpengalaman supaya dapat menikmati permainan ni dengan lebih seronok. Sebab tanpa ilmu, hobi ini agak sukar menjadi,” katanya.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram