PEMBULIAN siber bukanlah suatu isu yang baharu. Namun, ia dilihat masih menjadi barah dalam kalangan masyarakat yang kini lebih banyak melabur masa dengan media sosial serta terdedah kepada kecaman warga netizen.
Memang benar, bukan semua netizen merupakan pembuli siber tetapi ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan platform media sosial untuk membuli orang lain sama ada menempelak kesalahan atau menghina kekurangan seseorang.
Buli siber adalah ditakrifkan sebagai pencerobohan yang berlaku melalui teknologi digital seperti komputer, telefon pintar dan media sosial. Ia mempunyai sifat yang berbeza daripada buli tradisional memandangkan ia dilakukan secara maya dan memberi lebih kesan kepada mental berbanding fizikal mangsa.
Berdasarkan kajian oleh Trusted Source pada tahun 2019, remaja lelaki lebih cenderung menjadi pembuli siber berbanding perempuan.
Bagaimanapun, kajian itu dilihat berat sebelah memandangkan mana-mana pihak boleh terlibat dengan buli siber kerana mereka hanya beraksi dan bersembunyi di sebalik skrin.
Tambahan pula, pembuli siber sukar dikesan kerana mereka boleh mencipta pelbagai samaran untuk melakukan aktiviti tidak bertanggungjawab itu.
Buli siber bersifat kekal kerana ia dilakukan menerusi penulisan dalam bentuk teks di ruangan komen, emel mahupun ruangan blog. Ia juga boleh diakses dan boleh ditetapkan secara terbuka untuk sesiapa sahaja termasuk mangsa untuk membacanya.
Golongan remaja merupakan golongan yang paling mudah terkesan dengan pembulian siber memandangkan pada usia ini mereka mudah dipengaruhi oleh perasaan dan pada masa sama mereka lebih terdedah dengan dunia maya yang semakin meluas.
Kajian juga mendapati bahawa mangsa yang dibuli secara siber berisiko menghidap kemurungan, kegelisahan, berdepan kesukaran tidur dan pelbagai lagi masalah yang memberi kesan jangka panjang terhadap fizikal, sosial, emosi dan akademik.
Bukan sahaja golongan remaja, masalah ini turut memberi kesan kepada mangsa dalam kategori dewasa yang juga mendorong mereka melakukan tindakan drastik seperti mencederakan diri malah lebih teruk termasuk bunuh diri.
Kematian ahli gusti profesional wanita Jepun, Hana Kimura pada usia 22 tahun, mengetengahkan isu buli siber memandangkan ia merupakan punca wanita itu membunuh diri. Kimura ditemui mati di pangsapuri di Tokyo pada bulan Mei tahun lalu.
Pihak polis percaya bahawa kematian Kimura berpunca daripada mesej kebencian pengguna siber yang mendorongnya untuk meragut nyawa sendiri.
Kesan buli siber bukanlah suatu isu yang remeh dan perlu dipandang serius kerana ia melibatkan kesihatan mental mangsa dan juga memberi menjejaskan perkembangan sosial masyarakat terutama golongan remaja.
Oleh yang demikian, kesedaran terhadap akses alam maya secara sihat perlu dititik beratkan serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat perlu dilaksanakan bagi membendung masalah ini daripada menjadi barah dalam kehidupan masyarakat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram