Kenapa seseorang perlu ada hobi?


  • Hobi
  • Rabu, 25 Ogos 2021

HOBI dapat mengimbangi tahap emosi yang lebih baik serta mengurangkan perasaan murung. — Agensi

HOBI adalah aktiviti pilihan yang dilakukan pada masa lapang. Sama ada aktiviti sihat, kreatif atau amalan harian, semua perkara ini boleh dijadikan hobi dalam kehidupan seharian. Namun apabila bercerita tentang hobi, sebenarnya kenapa seseorang perlu ada hobi tersendiri?

Sepasukan penyelidik dari universiti di Kansas, Pittsburgh dan Texas, Amerika Syarikat telah melakukan kajian terhadap 1,399 individu, termasuk lelaki dan perempuan dengan pelbagai masalah kesihatan untuk mengukur kesan hobi dan aktiviti bersantai pada kesihatan keseluruhan.

Berdasarkan kajian itu mereka mendapati bahawa individu yang mengamalkan hobi yang sihat lebih cenderung memperoleh tahap kesihatan yang lebih baik dan pada masa sama mereka juga berjaya memperoleh berat badan serta bentuk badan yang ideal.

Mereka yang mempunyai hobi dan sering melakukannya pada masa lapang juga dikatakan mempunyai pola tidur yang lebih sihat juga mudah untuk mendapatkan tidur yang lena.

Selain itu, aktiviti hobi juga dapat mengurangkan tekanan. Dalam kajian itu, penyelidik mendapati bahawa mereka yang sering melakukan hobi menunjukkan tahap emosi yang lebih baik dan kurang rasa murung. Mereka juga mempunyai sikap yang lebih positif.

Tambahan pula, apabila emosi lebih teratur, mereka juga mempunyai kepuasan hidup yang lebih bermakna dan pada masa sama lebih merasa bahagia selain dapat menyeimbangkan kerja dan kehidupan.

Apabila keperluan kehidupan dapat dipenuhi, secara tidak langsung, mereka mudah mendekati dan didekati kerana aura positif yang lahir dari hidup yang bahagia.

Dengan melakukan hobi juga mereka dapat bertemu dengan orang baharu dan meluaskan jaringan sosial. Rangkaian sosial yang kuat dapat membantu menjadikan kehidupan lebih baik.

Salah satu faedah lain adalah prestasi kerja akan bertambah baik. Berdasarkan kajian di San Francisco State University, penyelidik mendapati bahawa pekerja yang meluangkan masa melakukan aktiviti hobi di luar waktu kerja lebih produktif dan kreatif dalam melaksanakan tugas mereka.

Penemuan ini berdasarkan kajian terhadap 430 pekerja dan anggota tentera yang mendapati bahawa mempunyai hobi memberi peluang kepada pekerja untuk pulih dari tekanan kerja. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Stress, Fokus, Bekerja, Aktiviti