Zouma mahu berpindah ke West Ham dengan bersyarat


  • Podium
  • Rabu, 25 Ogos 2021

BAYANGAN awal Kurt Zouma akan ke West Ham United dijangka akan menjadi kenyataan apabila kelab itu dilaporkan telah membuat perjanjian lisan dengan Chelsea FC untuk menandatangani pemain pertahanan itu.

Masih berbaki beberapa hari sebelum jendela perpindahan berakhir, The Hammers difahamkan telah bersedia untuk memenuhi harga yang diminta oleh Chelsea sebanyak € 30 juta (RM148.39 juta) untuk mengikat Zouma.

Bagaimanapun berdasarkan khabar yang beredar, pemain asal Perancis itu dikatakan meminta untuk kenaikan gaji daripada apa yang diperoleh bersama Stamford Bridge. Dilaporkan Zouma meminta bayaran sebanyak £ 125,000 (RM 721,711.83) seminggu.

Jika ia benar, Zouma akan menjadi pemain dengan gaji tertinggi di West Ham. Bagaimanapun perbincangan terperinci tentang hal dalaman masih ditangguhkan susulan perjanjian pertukaran yang masih belum mendapat kata sepakat.

Zouma juga dikatakan masih mahu kekal di London dan pada masa sama kelab Tottenham Hotspur turut mengintai peluang untuk meminang pemain berusia 26 tahun itu.

Perpindahan Zouma juga dikatakan akan membuka ruang kepada Chelsea untuk menandatangani Jules Kounde dari Sevilla bagi mengukuhkan lagi kekuatan pasukan untuk musim panas ini.

Zouma belum lagi tampil menyarung jersi The Blues dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini biarpun menjadi sebahagian daripada skuad yang mendakap trofi Piala Super UEFA selepas menewaskan Villarreal awal bulan lalu.-AGENSI

Zouma, Chelsea, West Ham