Police Sentri kini di alam maya


  • eSports
  • Khamis, 26 Ogos 2021

DENGAN kepesatan dan kecanggihan teknologi masa kini, pasti ada yang rindukan permainan tradisional?

Persoalan itu mungkin bermain di fikiran kita selepas menyaksikan anak muda kini lebih cenderung kepada permainan video yang lebih moden.

Misalnya Police Sentri yang cukup sinonim bagi mereka yang lahir pada 80-an dan 90-an tetapi agak jarang untuk kita dapat lihat ia dimainkan pada masa kini.

Persoalan lain juga adakah generasi milenium akan terus melupakannya hingga semua permainan lama akan pupus ditelan zaman?

Jika anda semua merasakan permainan itu akan lenyap ditelan zaman, maka jelaslah jawapan itu salah!

Hakikat yang harus ditelan, permainan video sebenarnya boleh melangkaui zaman dan Police Sentri juga boleh jadi pilihan ‘anak milenium’ andai kena dengan caranya.

Walaupun permainan ini sudah ‘berusia’, tetapi ia tetap ada pengikut dan dalam masa sama perlu diberi nafas baru mengikut selera generasi sekarang.

Untuk terus menghidupkan semula permainan tradisi itu, syarikat e-sukan, Todak Studios sudah pun melancarkan Police Sentri berkonsepkan online.

Niatnya mudah iaitu untuk mengembalikan kenangan kepada permainan zaman kanak-kanak.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Todak Studios, Ahmad Fadli Ahmad Dahlan berkata, permainan berkonsepkan polis dan pencuri itu mungkin tidak sesuai dimainkan pada musim pandemik Covid-19.

“Kita tahu generasi baharu hari ini suka bermain dengan peranti dan kita tak nak permainan itu terus dilupakan sebab 'Police Sentri' ini agak unik.

“Tetapi kalau nak ajar sekarang pun tidak sesuai kerana situasi pandemik Covid-19 dan sebab itu kita bawa permainan itu ke dalam talian.

“Permainan ini mudah kerana kita memang nak tarik minat-kanak-kanak dan kita nak masuk dalam mobile gaming,” katanya.

Mereka yang mahu mencuba dan ingin lepaskan rindu kepada zaman kanak-kanak boleh muat naik menerusi pautan ini untuk komputer dan sudah sedia untuk dimuat turun di Apps Store. – MAJORITI

police sentri, esports, video