Jalan cerita Hutang 2D mudah dijangka, angkat isu tipikal pasal masalah hutang


  • Hiburan
  • Khamis, 02 Sep 2021

Selepas beberapa kali muncul dalam telemovie, Floor 88 kini tampil di layar perak menerusi filem Hutang 2D.  — Azman Ghani/The Star

KUMPULAN Floor 88 hadir dengan produk baharu namun kali ini mereka tampil sebagai teraju utama dalam filem terbitan Astro Shaw iaitu Hutang 2D.

Hutang 2D telah ditayangkan di saluran Astro First bermula 5 Ogos lalu dan penulis berpeluang diberikan akses awal untuk menonton filem terbabit.

Diadaptasi daripada lagu Hutang nyanyian kumpulan berkenaan, filem tersebut turut mengangkat isu masalah hutang dalam kalangan masyarakat sebagai jalan penceritaan utama.

Selain anggota Floor 88, filem itu turut menampilkan Baby Shima, Black Hanafiah, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Ropie serta penampilan khas Altimet.

Filem berkenaan mengisahkan tentang Ayie (Ayie Elham), seorang pelukis kartun yang sering berangan dan pengecut.

Sikap bapanya, Pak Jie (Ropie) yang suka berhutang membuatkan hubungan antara mereka tidak begitu baik. Pak Jie juga turut memandang rendah bakat melukis yang dimiliki oleh Ayie.

Filem ini mengangkat kisah daripada lagu Hutang nyanyian Floor 88 — Astro Shaw

Kehidupan mereka sering diganggu dengan kehadiran dua orang samseng iaitu Han (Black Hanafiah) dan Kit (Wafiy Ilhan) yang menuntut hutang daripada Pak Jie.

Suatu hari, ketika Pak Jie dipukul oleh Han dan Kit, Ayie berasa takut dan menyembunyikan diri. Tindakan Ayie itu mengundang kemarahan Pak Jie yang menganggap anaknya tidak langsung membantunya dipukul.

Segalanya berubah selepas Ayie bertemu dengan Gua Mambang (Altimet) yang telah memberikannya sebuah tablet ajaib. Tablet tersebut mempunyai kuasa untuk membuatkan setiap lukisan menjadi realiti.

'Berkat' kuasa tablet terbabit, Ayie mencipta lima alter ego yang kemudian membantu menyelesaikan masalah hidupnya. Setiap alter ego mempunyai kuasa adiwira yang tersendiri.

Pada permulaan filem ini, penulis berasakan Hutang 2D mempunyai jalan cerita yang kuat namun konsep fiksyen yang diterapkan kurang baik.

Penulis percaya perjalanan Ayie sebagai penulis kartun tidak dikembangkan dengan cukup baik dan lebih terarah kepada 'kuasa' tablet ajaib itu.

Bagi penulis, adalah lebih baik barisan pengarah filem ini menonjolkan kisah liku Ayie untuk berjaya sebagai seorang penulis sehingga dapat membawa keluarganya keluar daripada kemelut hutang.

Filem ini masih dianggap tipikal bagi penulis kerana merasakan pengarah mengambil 'jalan mudah' dari segi konsep penceritaan dan banyak bergantung kepada kesan khas yang digunakan.

'Kehadiran' tablet dan kesan khas komputer yang digunakan sedikit sebanyak merencatkan mood penulis untuk terus menonton filem ini meskipun elemen komedi banyak diselitkan.

Sekiranya sekuel filem ini diterbitkan pada masa akan datang, barisan pengarah perlu menekankan konsep penceritaan yang lebih realistik ke atas watak utama dan tidak bergantung semata-mata kepada kesan khas komputer. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram