PENCETUS Ummah (PU) Syed meminta pihak berkuasa ‘melawat’ bekas penyanyi nasyid, Suhaimi Saad yang melabel penerima vaksin sebagai ‘lembu’.
Sekali pun tidak mahu mencampuri keputusan Suhaimi yang enggan disuntik, Syed juga seakan membayangkan tindakan itu sebagai keterlaluan.
“Mohon @pdrmsia_official ziarah beliau. Jauh sangat dah ni. Jika kurang sihat, dapatkan segera rawatan.
“Jika taknak vaksin jangan dilembukan orang yang menerima vaksin. Hiduplah dalam dunia kamu yang penuh kesenian tu,” katanya dalam satu status yang dimuat naik di Instagram.
Sebelum ini, Suhaimi yang menggunakan nama mosusofficial di laman sosial Instagram miliknya meluahkan rasa hormat kepada 779 guru di Johor yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.
Menerusi gambar yang dimuat naik itu tertulis “hanya orang bodoh yang akan mematuhi peraturan bodoh”.
Malah menerusi ruangan kapsyen, Suhaimi berkata “Aku respek 779 cikgu Johor tu. Moha Allah bantu dan permudahkan urusan diaorang. Cikgu bukan orang orang bodoh macam kebanyakan netizen lembu”.
Sebelum ini, isu keengganan guru untuk menerima suntikan vaksin sudah pun mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Saya akan berjumpa dengan Pengarah Pendidikan Johor dan para guru di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan bersama-sama dengan Mufti Johor dan Setiausaha Kerajaan Johor pada Jumaat ini.
“Demi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Insya’Allah,” titah Tunku Ismail menerusi laman sosial Facebook. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram