
ANGGOTA kumpulan SNSD, Yoona berkongsi keterujaannya terlibat dalam pembikinan filem House of Hummingbird dalam versi barrier-free (tanpa kekangan bahasa) yang diterbitkan oleh Korean Barrier Free Films Committee (KOBAFF) di Seoul Business Agency (SBA).
Memetik laporan portal Allkpop, Yoona memberitahu, ia merupakan pengalaman pertama dia menyumbangkan suara dalam pembikinan filem yang dikhaskan untuk penonton kelainan upaya itu.
"Saya sangat tertarik dengan penceritaan dan tidak teragak-agak untuk menyertainya kerana ia adalah peluang terbaik dan sangat berharga terutama sekali dalam fielm House of Hummingbird.
"Tambahan pula, filem ini banyak memenangi anugerah dan saya sendiri amat kagum dengan penceritaan filem ini," kata Yoona.
Yoona turut berharap lebih banyak filem akan diterbitkan dalam versi barrier-free agar ia memberi peluang kepada peminat filem yang kurang upaya untuk menikmatinya.
"Saya berharap filem versi barrier-free ini akan terus mendapat sokongan orang ramai," katanya.
Filem barrier-free dibuat dengan penerangan audio untuk menjelaskan apa yang terjadi di layar perak, selain dilengkapi sari kata yang mengaitkan penceritaan dan dialog, muzik dan maklumat suara, yang memberi peluang kepada semua peminat filem kelainan upaya menikmati filem bersama.
Sementara itu, sutradara Kom Bo Ra akui gembira apabila filem arahannya House of Hummingbird dipilih untuk diterbitkan dalam versi barrier-free.
Menurutnya, sepanjang menghasilkan filem tersebut banyak pengalaman baharu yang diperolehinya kerana ia berbeza dengan filem yang pernah diarahkan sebelum ini.
"Banyak juga kesilapan yang saya lakukan kerana ini pengalaman pertama hasilkan filem dengan penceritaan dan ia berbeza dengan versi asal House of Hummingbird.
"Namun, banyak yang saya pelajari untuk mengarahkan filem dalam keadah yang berbeza untuk menarik penonton dengan lebih dekat lagi," katanya. — AGENSI