Elizabeth Olsen bimbang keputusan Disney, bakal jejaskan industri filem


  • Hiburan
  • Rabu, 01 Sep 2021

KEPUTUSAN Disney untuk melancarkan beberapa filem terbitannya ke platform Disney Plus ternyata membimbangkan sesetengah pelakon yang mendakwa ia akan memberi kesan yang lebih besar kepada industri hiburan di Hollywood.

Disebabkan keputusan itu juga, bintang Black Widow, Scarlett Johansson telah memfailkan tuntutan kepada Disney kerana ia didakwa melanggar terma kontrak sekaligus menjejaskan pendapatannya.

Kebimbangan yang sama juga turut diluahkan oleh aktres Elizabeth Olsen yang berpendapat keputusan Disney itu akan mengakibatkan peminat filem tidak lagi ke pawagam dan akhirnya menjejaskan industri filem.

"Saya bimbang tentang beberapa perkara. Bukan sebab tuntutan Johansson, tapi bimbang peluang untuk filem yang lebih kecil boleh ditonton di pawagam. Situasi ini telah berlaku ketika pandemik Covid-19," katanya memetik laporan portal Asiaone.

Pada masa sama, Olsen turut menyifatkan Johansson seorang yang tabah dan mampu mempertahankan haknya dalam tuntutan tersebut.

"Apabila ia berkait rapat dengan pendapatan pelakon, itu semua termaktub dalam perjanjian.

"Saya yakin Johansson seorang yang tabah dan apa yang dilakukan itu adalah sesuatu yang baik untuknya," katanya.— AGENSI

disney, Black Widow, covid-19, hollywood