Daniel Radcliffe belum terima tawaran lakonan filem Harry Porter terbaharu


  • Hiburan
  • Selasa, 31 Ogos 2021

BINTANG Harry Porter, Daniel Radcliffe mengesahkan setakat ini belum menerima sebarang panggilan untuk terlibat dalam siri terbaharu filem adaptasi novel itu.

Memetik laporan portal Asiaone, pada awal bulan lalu, pelakon berusia 32 tahun memberitahu bahawa dia ingin berhasrat untuk memegang watak Sirius Black atau Professor Remus Lupin jika diberi peluang sekali lagi menjayakan filem dunia sihir itu.

Bagaimanapun, awal minggu lalu ketika ditanya tentang kemungkinan dia diberikan salah satu watak yang diinginkan, Radcliffe menjelaskan dia masih tidak menerima sebarang tawaran setakat ini.

"Tidak, ia tidak berlaku. Soalan yang diajukan kepada saya tempoh hari hanya meminta pendapat jika saya diberi peluang untuk menjayakan siri filem akan datang.

"Tapi itulah yang selalu berlaku apabila memberikan kenyataan kepada media, biasanya akan ada topik lain yang dikaitkan.

"Apa pun, setakat ini saya masih belum dihubungi pihak produksi untuk terlibat dalam sebarang penggambaran filem Harry Porter. Saya tidak rasa ia akan datang dalam masa terdekat," kata Radcliffe.— AGENSI