DIEDERICK Schelfhout sedang dalam perjalanan ke rumah menaiki motosikal pulang dari latihan, ketika segala-galanya berubah dalam sekelip mata.
Pelumba basikal Belgium itu baru sahaja menandatangani kontrak profesionalnya beberapa bulan sebelumnya itu, merealisasikan impiannya untuk menjadi atlet profesional sejak berusia lapan tahun dan mengikut jejak ayahnya yang juga seorang pelumba profesional.
Namun, selepas terlibat dalam kemalangan ngeri yang menyebabkannya terlantar koma selama tiga bulan dan memerlukan 72 pembedahan, dia diberitahu oleh doktor supaya melupakan impian berbasikalnya akibat kerosakan saraf yang teruk di bahagian kaki kiri dan pinggulnya.
Apabila sedar daripada koma, Schelfhout mendapati bahawa bahagian kiri tubuhnya lumpuh dan turut mengalami kecederaan teruk di beberapa bahagian tubuhnya manakala 80 peratus bahagian tubuhnya terbakar, termasuk paru-paru.
“Tulang saya patah, lengan saya hancur, kaki, tangan saya. Ia mengerikan. Saya tidak berfikir tentang basikal pada minggu pertama. Saya hanya perlu jadi lebih kuat,” katanya mengenang kembali insiden yang berlaku pada tahun 2008 itu.
Schelfhout tidak berputus asa untuk mengejar impiannya walaupun doktor mengesahkan beliau tidak akan pulih sepenuhnya. – ERIC LALMAND/BELGA/ZUMA PRESS
Namun, dia tetap mahu mencuba mengayuh basikal pada hari yang sama untuk melihat kemampuan tubuhnya walaupun doktor mengatakan bahawa mustahil bagi dirinya sembuh sepenuhnya.
"20 meter pertama adalah jarak paling dahsyat dalam hidup saya. Semuanya sakit, dan saya rasa seperti kanak-kanak enam tahun yang cuba menunggang basikal,” katanya.
Tidak sampai setahun selepas insiden tersebut, Schelfhout sudah mula menunggang basikal untuk ke hospital bagi menjalani rawatan rehabilitasi.
Pada tahun 2011, nasib Schelfhout berubah apabila beliau membaca sebuah artikel mengenai pelumba basikal para Belgium, Kris Bosmans yang mula bertanding setelah mengalami strok.
Mengambil inspirasi kisah itu, Schelfhout terus menghubungi Bosmans.
Setelah mendengar kisah Bosmans, dia mula berasa bersemangat mahu berlumba semula dan menurunkan berat badan sehingga 40 kg bagi mempersiapkan diri untuk bertanding.
Schelfhout bangga dapat meneruskan impiannya untuk mewakili negara dan menjadi seorang atlet profesional. – ALEX WHITEHEAD/SWPIX.COM/SHUTTERSTOCK
Schelfhout berkata, beliau tidak akan dapat memenuhi impian untuk menjadi pelumba basikal kelas dunia tanpa sokongan rakan-rakan dan keluarganya.
“Mereka yang menyokong saya, dan juga persatuan. Ia sangat penting untuk mempunyai orang baik di sekeliling untuk mencapai sesuatu yang baik dalam hidup anda. Saya sangat bersyukur kerana memiliki mereka,” katanya.
Pada sukan paralimpik kali ini, beliau sudah tidak sabar untuk membawa nama Belgium dalam empat acara berbasikal iaitu 3km pursuit individu (trek), ujian masa 1km (trek), ujian masa (lebuh raya) dan lebuh raya.
"Bagi saya, ini (mewakili negara) adalah perasaan yang baik, kerana tidak semua orang dapat mengatakan bahawa mereka dapat melakukannya. Saya sayang negara saya dan saya suka menunjukkan kepada rakyat Belgium perlumbaan yang hebat,” kata Schelfhout. — AGENSI