SAKIT gigi menyebabkan seseorang tidak senang duduk, tidak boleh tidur, ada kalanya sensitif dengan cahaya dan bunyi, malah tiada mood untuk melakukan sebarang aktiviti.
Sakit gigi yang datang secara tiba-tiba mungkin ada banyak puncanya termasuk tidak memberus gigi dengan betul atau jarang memberus gigi. Selain itu, makan makanan bergula sebelum tidur selain tidak berkumur juga antara penyebab sakit gigi.
Namun, bagaimana untuk atasi sekiranya sakit gigi datang secara tiba-tiba pada waktu malam dan tiada sebarang ubat di rumah anda?
Tambahan pula, farmasi dan klinik ketika itu tidak beroperasi? Jangan risau kerana anda boleh mencari ubat hanya dengan selongkar dapur anda, lapor portal Pinkvilla.com.
Antara cara paling berkesan untuk menghilangkan sakit gigi adalah berkumur dengan air garam, yang mana ia adalah pembasmi kuman semula jadi. Tambahkan dua atau tiga sudu garam ke dalam air mendidih dan biarkannya larut sebelum berkumur dengan campuran itu.
Air garam adalah pembasmi kuman semula jadi. —AGENSI
Anda juga boleh mengambil pek ais dan letakkan di kawasan terkesan selama beberapa minit. Ini membantu bengkak menjadi surut.
Selain itu, cengkih juga bermanfaat untuk merawat penyakit sama. Ambil minyak cengkih dan gosokkan ke kawasan gigi yang terkesan. Dengan izin ALLAH SWT, ia pasti akan menghilangkan rasa sakit.
Malah, anda juga boleh menggunakan uncang teh berperisa pudina merawat sakit gigi, yang mana anda perlu meletakkannya di kawasan terjejas selama beberapa minit hingga kesakitan reda. Ia akan menyejukkan dan menghilangkan rasa sakit.
Uncang teh berperisa pudina juga mampu melegakan sakit gigi. —AGENSI
Pada masa sama, anda juga boleh menggunakan bawang putih, yang mempunyai sifat antibakteria semula jadi bagi meredakan sakit gigi. Caranya adalah dengan menghancurkan bawang putih dan sapukannya di kawasan gigi yang terkesan. Anda juga boleh mengunyah bawang putih berkenaan. Ia akan melegakan kesakitan dan mengurangkan bengkak.
Sekiranya kesemua kaedah masih tidak berkesan dan anda masih mengalami sakit gigi dalam tempoh dua hingga tiga hari, maka segeralah berjumpa doktor gigi untuk melakukan rawatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram