DALAM keadaan menghadapi pandemik Covid-19, segalanya berubah mengikut norma baharu termasuk dalam soal sesi pembelajaran dan pengajaran.
Dengan wujudnya sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR), guru berdepan cabaran besar untuk memastikan ilmu pengetahuan kepada anak murid mereka.
Di sebalik cabaran itu, wujud peluang untuk guru menampilkan kreativiti dan idea mereka dalam menyampaikan kandungan pembelajaran.
Malah ada yang sanggup berhabisan beribu ringgit untuk mewujudkan sesi pembelajaran yang efisien serta menarik minat anak murid mereka.
Itu pengorbanan yang dilakukan seorang cikgu kelahiran Kelantan yang sanggup mengeluarkan wang sendiri bagi membeli peralatan komputer untuk berkongsi ilmu Pendidikan Seni Visual (PSV) di saluran YouTube pada setiap jam 9 malam hari Sabtu.
Tangkap layar satu daripada kandungan video yang dihasilkan Cikgu Kamarulzaman.
Cikgu Melankolik Malaya atau nama sebenarnya Kamarulzaman Muhd Yunus mengajar secara percuma pada setiap Sabtu jam 9 malam sebagai kelas tambahan maya bagi pelajarnya mempelajari teknik melukis, untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Menurut tenaga pengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Maluri, Kuala Lumpur itu berkata sesi pengajaran itu bagaimanapun tidak terhad dilayari pelajar sekolahnya bahkan juga pelajar lain.
"Bila saya buat strim langsung, pelajar-pelajar teruja untuk masuk dan kalau saya sebut nama mereka semasa sesi siaran langsung, lagi mereka gembira.
"Sesi pembelajaran dalam YouTube adalah tidak formal seperti dalam kelas. Konsep yang saya gunakan adalah lebih santai bagi membolehkan pelajar senang faham," katanya.
Beliau yang mula bersiaran di saluran YouTube Cikgu Melankolik Malaya sejak November tahun lepas mengeluarkan wang sendiri bagi merealisasikan perkara tersebut.
"Saya berhabis sekitar RM3,000 bagi membeli set komputer, beli satu persatu kerana harganya bukan murah. Dan hampir tiga bulan masa diperlukan untuk dapatkan set komputer lengkap ini," katanya.
Berkongsi mengenai pemilihan nama Cikgu Melankolik Malaya sebagai nama saluran YouTube beliau, Kamarulzaman berkata ia kerana beliau meminati bidang sastera.
"Nama Melankolik ini saya guna masa belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris lagi, dan ramai mengenali saya dengan nama itu.
"Saya harap lebih ramai tahu 'channel' Cikgu Melankolik Malaya. Saya hanya mahu meneruskan legasi dan niat murni dalam bidang PSV di Malaysia. Teruskan menyokong saya dan guru-guru PSV di Malaysia. Seni Itu Indah, Seni Untuk Semua!," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram