Individu berjerawat lebih cenderung alami tekanan perasaan


  • Sihat
  • Jumaat, 27 Ogos 2021

MASALAH jerawat mampu beri kesan terhadap kesihatan emosi dan psikologi seseorang. — Agensi

JERAWAT adalah masalah yang menjadi igauan bagi setiap orang terutamanya wanita. Bukan itu sahaja, ia juga mampu memberi kesan terhadap kesihatan emosi dan psikologi diri.

Satu kajian yang diterbitkan dalam The Journal of the American Academy of Dermatology menunjukkan bahawa individu yang mempunyai masalah jerawat yang teruk, dua atau tiga kali lebih cenderung untuk menghidap kemurungan.

"Mereka yang mempunyai masalah jerawat mempunyai gejala kemurungan yang lebih ketara, keyakinan diri yang rendah, perasaan tidak berguna, tidak merasa bangga dengan diri sendiri, dan tidak berpuas hati dengan penampilan mereka berbanding mereka yang tidak berjerawat," menurut kajian tersebut.

Selain itu, satu laporan dari British Skin Foundation mendapati bahawa satu daripada lima orang yang mengalami masalah jerawat pernah berkira-kira untuk membunuh diri. Punca utama adalah kerana mereka lebih mudah berasa bersendirian.

Seorang ahli psikoterapi, Matt Traube berkata, mereka yang mengalami wajah berjerawat lebih cenderung untuk mengasingkan diri daripada orang lain.

"Apabila anda sudah berasa putus asa dan malu, perasaan itu hanya akan semakin meningkat," katanya.

Namun setiap masalah pasti ada jalan keluarnya. Traube menasihati mereka yang bergelut dengan masalah jerawat supaya tidak putus asa dan terus berusaha.

"Tiada apa yang kekal walau banyak mana anda berfikir tentangnya," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

jerawat, tekanan, kemurungan, penjagaan kulit