Kenali Brian Kim, perampas takhta taikun Samsung


BRIAN Kim mengatasi Lee Jae-yong sebagai manusia terkaya di Korea Selatan. — Agensi

INDIVIDU ini pernah merasai pengalaman perit terpaksa berkongsi sebuah bilik bersama tujuh anggota keluarganya.

Beliau juga merupakan orang pertama dalam keluarganya yang berjaya memasuki universiti terkemuka di Korea Selatan iaitu Universiti Nasional Seoul.

Ketika melanjutkan pelajaran di universiti, beliau menjadi tenaga pengajar peribadi bagi membiayai yuran tuisyennya.

Namun kini, individu itu yang dikenali sebagai Brian Kim menjadi individu paling kaya di Korea Selatan, sekali gus merampas kedudukan pernah dipegang oleh pewaris Samsung, Jay Y Lee.

Kim yang mengasaskan platform Kakao Corp memiliki nilai kekayaan sebanyak AS$12.3 bilion (RM51.2 bilion).

Pencapaian Kim itu sekali gus membuktikan kejayaan beliau sebagai usahawan firma teknologi di negara terbabit.

Sejak beberapa dekad, kedudukan manusia terkaya di Korea Selatan sering diisi oleh keluarga konglomerat.

Kim pada mulanya mengasaskan Iwilab pada 2006 sebelum melancarkan KakaoTalk empat tahun kemudian.

Aplikasi tersebut memiliki 53 juta pengguna seluruh dunia dengan 88 peratus daripadanya adalah pengguna domestik di Korea Selatan.

Kakao Corp ketika ini tersenarai sebagai syarikat berdaftar keempat terbesar di negara berkenaan dengan nilai pasarannya sebanyak AS$58 bilion (RM244.8 bilion).

Situasi pandemik Covid-19 juga membantu meningkatkan permintaan perkhidmatan Kakao, sekali gus melonjakkan namanya untuk menjadi lelaki paling kaya di negara itu.

Keuntungan syarikat berkenaan meningkat tiga kali ganda kepada AS$209 juta (RM881 juta) pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Walaupun memiliki harta yang banyak, Kim masih tidak lupa menghulurkan bantuan apabila beliau sudi menyumbangkan sebahagian besar hartanya kepada golongan yang memerlukan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kaya, Korea Selatan, Kakao