'Kaligrafi adalah senjataku'


  • Inspirasi
  • Jumaat, 27 Ogos 2021

BELAL melakukan sentuhan akhir pada karya sepanjang 50 meter di Gaza pada Julai lalu. — Agensi

TATKALA pejuang lain mengangkat senjata bagi mempertahankan negara daripada kekejaman rejim pengganas Israel, seorang pejuang Palestin membuat kelainan apabila berjuang melalui seni kaligrafi Arab.

Belal Khaled yang juga wartawan foto dan seniman berkata, beliau mahu masyarakat dunia menyaksikan Gaza dari sudut lain dengan memperkenalkan keindahan disebalik kehancurannya serta bagaimana penduduk di wilayah itu mampu bertahan untuk hidup.

"Saya mahu melakukan sesuatu yang indah. Saya ingin mencari kehidupan dan keindahan di tengah-tengah kematian dan kehancuran ini," katanya menurut laporan Middle East Monitor.

​​​​​​​ ​​​​​​​ ​​​​​​​ ​​​​​​​ ​​​​​​​ ​​​​​​​ Screenshot 2021-08-24 130449

Antara karya-karya lain yang dihasilkan oleh Belal. — Agensi

Belal berkata, beliau mencipta identitinya sendiri menerusi kaligrafi Arab di pelbagai paltform dan medium termasuk kereta, kedai, dinding serta pakaian.

Belal melakukan seni kaligrafi pada peluru berpandu yang tidak meletup di Gaza pada Mei 2021.

Katanya, seni yang dihasilkan itu bertujuan menterjemahkan perasaan rakyat Palestin ke dalam bentuk kaligrafi.

"Menukar fon menjadi lukisan adalah gaya saya sendiri. Saya berusaha menyebarkan budaya kaligrafi Arab dan keindahannya ke seluruh dunia. Bahasa Arab kita mempunyai daya tarikan tersendiri yang mampu menambah keindahan tertentu pada abjad," katanya.

​​​​​​​ ​​​​​​​ ​​​​​​​ ​​​​​​​ ​​​​​​​ ​​​​​​​ ​​​​​​​ 6-3

Belal melukis di atas permukaan peluru berpandu yang tidak meletup di Gaza pada Mei 2021. — Agensi

Ungkapan ' Jiwa yang bertempur dalam diri kita' adalah antara tulisan kaligrafi yang dihasilkan olehnya di tembok sebuah bangunan di Gaza sepanjang 50 meter dan dengan ketinggian tujuh meter.

Karya berkenaan yang disiapkan dalam tempoh empat hari itu menggunakan berus rata dan baldi yang dipenuhi dengan warna.

"Kami memilih ungkapan ini untuk mengekspresikan setiap semangat juang dalam setiap pemuda, wanita, anak dan setiap jiwa dalam masyarakat Palestin kami. Semua jiwa mereka berjuang untuk pembebasan Palestin," katanya.

Belal sedang menyiapkan salah satu projek seninya.

Belal dilahirkan di bandar Khan Yunis dekat selatan Semenanjung Gaza dan telah menghasilkan karya-karya selama lebih 15 tahun.

Setelah menamatkan pengajian di universiti, Belal menumpukan perhatian untuk menjadi orang pertama yang memajukan seni kaligrafi termasuk tipografi dan grafiti ke Gaza. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kaligrafi, Palestin, Belal Khaled