[VIDEO] Bercinta atau akrab macam adik-beradik? Sikap 'gentleman' Tang Jie terhadap Ee Wei buat ramai cair


  • Podium
  • Isnin, 01 Sep 2025

Tang Jie dan Ee Wei meraikan kejayaan di podium pada Kejohanan Dunia di Paris. — Facebook/BAM

PASANGAN beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei muncul juara dunia selepas menewaskan gandingan nombor dua dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin pada aksi final Kejohanan Badminton Dunia di Adidas Arena, Paris, Perancis pada Ahad.

Kejayaan memenangi set pertama 21-15 sebelum merangkul kemenangan dengan keputusan 21-14 dalam tempoh 39 minit itu bertambah manis buat seluruh rakyat Malaysia susulan ia diperoleh ketika Hari Kebangsaan. 

Kejayaan itu menjadikan mereka hanya pasangan kedua Malaysia yang berjaya bergelar juara dunia, selepas pencapaian bersejarah Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara beregu lelaki pada edisi 2022 di Tokyo.

BACA LAGI: Coach Rexy Mainaky pesan selalu tarik nafas, jangan ‘overthinking’ — Tang Jie-Ee Wei

BACA LAGI: Berpisah seketika, ‘gengster duo’ jumpa semula rentak kemenangan di Terbuka Singapura

Lebih manis, gelaran dunia tersebut hadir selepas pasangan campuran negara itu pernah berpisah selama lima bulan pada awal tahun ini kerana perbezaan, namun akhirnya kembali digandingkan semula dan membuktikan kesepakatan luar biasa di gelanggang.

Pada masa sama, kemenangan tersebut turut menoktahkan dominasi China dalam acara beregu campuran apabila gergasi badminton dunia itu sebelum ini meraih gelaran tersebut sebanyak 10 kali.

Selain hadiah Hari Kebangsaan itu, apa yang turut mencuri perhatian penyokong badminton tanah air ialah sikap gentleman Tang Jie terhadap gandingannya, Ee Wei yang sering dipamerkan sepanjang kejohanan. 

Antara momen yang tular ialah ketika Ee Wei mengalami kecederaan kecil di gelanggang, Tang Jie segera memberi perhatian dan memastikan keadaan pasangannya itu berada dalam keadaan baik. 

Ketangkasan dan keprihatinannya Tang Jie dipuji ramai sehingga membuatkan penyokong ‘cair’ dengan layanan yang penuh hormat dan prihatin hingga ramai warganet menyifatkan hubungan mereka seperti pasangan bercinta.

"Nak main badminton ke nak main sweet sweet ini. Jangan risau, satu negara dah restu," kata penyokong tanah air, Nuraiza. 

"Gentleman betul Tang Jie ini, kalau aku memang dah cair," komen penyokong badminton tanah air, Na Ndik Ndik.

"Raket mahal pun dicampak sebab nak sambut Ee Wei punya pasal," tambah seorang lagi pengikut sukan tanah air, Mysarah.

Bagaimanapun, hubunngan mereka juga dilihat seperti pasangan adik beradik dengan sebahagian besar penyokong suka melihat keakraban dan keserasian yang terpancar antara mereka, baik di luar mahupun di dalam gelanggang.

Untuk info, pasangan beregu campuran itu mendapat gelaran 'duo samseng' oleh peminat terkenal tanah air kerana gaya rambut yang sama dan semangat juang mereka di gelanggang ketika perlawanan. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram