
TULAR sebuah rakaman pada Sabtu memaparkan seorang warga emas menggunakan kerusi roda di tengah jalan raya yang sibuk sekitar Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Kejadian sempat direkodkan pemandu lori yang berada di lokasi dengan kehadiran lelaki menaiki kerusi roda elektrik itu menyebabkan sedikit gangguan lalu lintas.
Video berdurasi kira-kira 21 saat tersebut memaparkan warga emas terbabit turut memegang payung serta memakai topi putih kerana cuaca agak terik pada ketika itu.
BACA LAGI: Warga emas hantar cucu masuk IPT maut kena hempap kayu lori treler di Nibong Tebal
BACA LAGI: Suami durjana bakar isteri kena tahan ketika menyorok di rumah abang di Nibong Tebal
"Bahaya ni, Astaghfirullah. Bahaya tindakan sebegini, jaga-jaga kepada orang ramai yang dalam perjalanan ke Bukit 300 kerana ada kerusi roda di tengah jalan," kata tukang rakam itu.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan berhubung kejadian itu dengan identiti serta destinasi ingin dituju warga emas berkenaan masih belum dipastikan.
Orang ramai yang menyaksikan rakaman pendek itu mula bertanya di manakah penjaga lelaki tua terbabit kerana tindakan sebegitu boleh membahayakan diri dan pengguna jalan raya.
"Kesian tengok, mungkin terdesak nak pergi ke mana-mana atau sudah nyanyuk. Jangan cakap lebih-lebih, kita pun tak tahu masalah apa. Lebih elok jika dapat tumpangkan atau tanya nak ke mana. Semoga dipermudahkan segala urusan," kata Duratul Ain Mat Daud.
"Tidak mungkin pakcik ini tiada anak. Kadang-kadang, orang tua ini suka berjalan-jalan ikut suka hati. Kadang-kadang anak tak bagi jalan, tetap mahu keluar juga," kata Nurfaiqah Shukry.
"Nak ke mana agaknya pakcik ni? Tiada siapa-siapa yang jaga ke? Cuma, kalau lihat daripada video itu, nampak gunakan kerusi roda elektrik, mungkin dibelikan anak-anak atau keluarga. Semoga tiada apa-apa berlaku," kata Zamil Hadi.
Perkongsian di ruangan komen Facebook Penang Kini menyatakan warga emas itu sering kelihatan sekitar Taman Widuri, Pulau Pinang dalam keadaan sedemikian.
Tetapi, dengan tiada sebarang waris tampil mengesahkan perkara tersebut, tiada tindakan boleh diambil sambil masing-masing mengharapkan individu berkenaan terselamat daripada sebarang musibah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram