Suami durjana bakar isteri kena tahan ketika menyorok di rumah abang di Nibong Tebal


  • 112
  • Khamis, 03 Ogos 2023

Suspek lelaki yang mempunyai empat rekod lampau termasuk pernah mencederakan isterinya bersembunyi di rumah abangnya ketika ditahan polis.

LELAKI yang dipercayai melarikan diri selepas membakar isterinya dalam kejadian di rumah mereka di kawasan perumahan ladang kelapa sawit di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada Isnin berjaya ditahan polis di Nibong Tebal pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) , Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira 1 tengah hari di sebuah rumah di Nibong Tebal dipercayai bersembunyi di situ.

"Hasil risikan dan intipan yang dijalankan, polis berjaya mengesan suspek tersebut di sebuah rumah sebelum menahannya untuk siasatan lanjut. Lelaki itu akan dibawa ke mahkamah Jumaat untuk perintah reman," katanya pada Khamis.

Katanya, ketika ini keadaan mangsa berusia 35 tahun itu yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang masih kritikal iaitu 80/20.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, suspek lelaki yang mempunyai empat rekod lampau termasuk pernah mencederakan isterinya bersembunyi di rumah abangnya ketika ditahan polis.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, wanita tersebut melecur tahap tiga dipercayai dibakar suaminya menggunakan petrol, dalam kejadian perselisihan faham di rumah mereka.

Pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 10.45 malam daripada jiran mangsa, sebelum sepasukan polis terus ke lokasi, namun mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan kerana melecur lebih 27 peratus.

Siasatan awal mendapati pasangan suami isteri yang bekerja di ladang kelapa sawit itu, mempunyai empat orang anak berusia 10 hingga 13 tahun dan semasa kejadian, anak-anak mereka berada di rumah yang disediakan majikan mereka di ladang tersebut. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram