
KEJAYAAN Johor Darul Ta'zim (JDT) yang merangkul pelbagai kejuaraan pasti membuatkan rata-rata pemainnya sukar melupakan setiap kenangan manis pernah dikecapi.
Momen itu akan menjadi lebih bahagia dan bermakna sekiranya kelab Selatan tanah air itu menawarkan kejuaraan pertama dalam karier pemain, termasuk dalam kalangan import.
Antara pemain berpeluang menikmati kejayaan sedemikian ialah penyerang sayap kelahiran Argentina, Fernando Forestieri yang menyertai skuad Harimau Selatan pada Januari 2022.
BACA LAGI: [VIDEO] Ong Kim Swee beri jaminan bawa import baharu, Fernando Forestieri jadi sasaran Persis Solo?
Forestieri menikmati kenangan manis sepanjang dua musim beraksi bersama skuad Harimau Selatan.
Dia yang berpengalaman sekitar Eropah, termasuk kelab England iaitu Sheffield Wednesday dan beberapa pasukan Itali tidak pernah menjulang sebarang gelaran sebelum sah menjadi bintang JDT.
Jadi, tidak hairanlah apabila pemain terbabit bertindak melukis tatu Piala Sumbangsih yang dijulangnya pada 2022 supaya mengabadikan momen cukup bermakna dalam kariernya itu.
Perasaan tersebut turut dikongsikan penyokong JDT yang amat berminat dengan kebolehan Forestieri berdasarkan kebolehannya dalam melakukan hantaran dan mengucar-ngacirkan benteng pertahanan lawan.
Bagaimanapun, jodoh antara penyerang sayap itu dengan kelab terbabit tidak berpanjangan apabila pada pertengahan musim ini, dia dilaporkan tidak lagi berkhidmat buat skuad Harimau Selatan.
Forestieri meninggalkan impak cukup hebat sepanjang tempoh singkat bersama skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Kecederaan dialami menghalang Forestieri daripada beraksi di tahap tertinggi dengan JDT juga sudah mempunyai lambakan pemain sayap yang boleh mengisi kekosongan ditinggalkan pemain tersebut.
Pemergiannya bagaimanapun seperti tidak direstui peminat kelab Selatan tanah air tersebut yang beranggapan pemain yang kini berusia 35 tahun itu merupakan penyerang sayap terbaik pernah dimiliki.
Malah, Forestieri juga seperti berkongsi perasaan terbabit kerana meskipun sudah kira-kira sembilan bulan mengucapkan selamat tinggal, hatinya masih setia bersama JDT.
Dalam satu hantaran di Instastory peribadinya, pemain itu didapati menyarung jaket berserta logo JDT ketika bersama sahabatnya dipercayai semasa mereka berada di Argentina.
Forestieri (kiri) mengenakan jaket JDT ketika meluangkan masa bersama rakannya.
Perkongsian tersebut menerima respons baik daripada penyokong skuad Harimau Selatan dengan masing-masing mengucapkan rasa sayang terhadap pemain berkenaan.
"Salah seorang pemain JDT yang hebat. Tidak boleh dilupakan jaringannya pada minit ke-100 ketika berdepan Negeri Sembilan FC. Gol tercantik yang memang tiada tandingan," kata Bakar Ghaffar.
"Sayang betul nampaknya Forestieri dengan JDT ya. Mana tak sayang, inilah kelab pertama yang beri dia julang piala sepanjang kariernya. Pemain import paling rajin dan setia bersaam JDT," kata Ariffin Odiman II.
Usai meninggalkan skuad Harimau Selatan, pemain sayap tersebut tidak lagi terikat dengan mana-mana pasukan meskipun terdapat laporan mengatakan dia akan menyertai kelab di Argentina mahupun pasukan lamanya, Watford.
Bagaimanapun, dengan kecederaan jangka masa panjang yang dialami, terdapat kemungkinan Forestieri tidak akan lagi beraksi dengan usianya juga sudah mencecah 35 tahun.
Untuk rekod, Forestieri mencatatkan 72 penampilan bersama skuad Harimau Selatan dengan 50 gol dan 25 bantuan jaringan berjaya dicatatkan sepanjang tempoh terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram