'Sebagai tetamu tak pernah persoalkan, saya teruja makanan saja,' guna pinggan pakai buang, pinggan kaca hari raya jadi perdebatan


Setiap keluarga mempunyai hujah tersendiri menyantuni tetamu yang datang beraya menikmati juadah menggunakan pinggan jenis kaca ataupun pakai buang. — Gambar hiasan/Freepik

SETIAP kali tibanya Aidilfiri, rumah terbuka menjadi tradisi utama dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Selain hidangan lazat dan dekorasi meriah, pemilihan pinggan dan cawan untuk menjamu tetamu juga menjadi isu perbincangan dalam media sosial.

Bagi sesetengah keluarga berpendapat menyediakan pinggan mangkuk jenis kaca untuk menjamu selera merupakan bentuk penghormatan kepada para tetamu yang datang beraya.

BACA LAGI: Ambil alih restoran vegetarian hampir tutup, pemilik baharu sedia menu hidangan penuh RM3 demi golongan memerlukan

BACA LAGI: Wanita perlu seimbang tangani tekanan hidup, elak minuman kafein berlebihan antara tips kekal sihat - Dr. Sharifah Shawati

Seperti mana dikongsikan oleh seorang pengguna Threads @shaynadalina, beliau memberitahu bahawa bapanya tidak selesa sekiranya menggunakan pinggan pakai buang walaupun ramai jumlah tetamu yang berkunjung.

"Dia (bapa) pantang kalau kami guna pinggan atau cawan pakai buang untuk tetamu menikmati makanan. Tidak kiralah beratus orang pun, maka keluarkan pinggan kenduri. Tidak mengapa, upahlah orang cuci pinggan," tulisnya.

Pun begitu, lain keluarga lain pilihannya dalam menyantuni tetamu yang datang berhari raya.

Sesetengah individu pula berkongsi pendapat sebaliknya. Mereka dikatakan lebih memilih pinggan pakai buang atas faktor keselesaan dan mudah.

"Saya lebih gemar menggunakan pinggan dan cawan pakai buang. Kalau dekat kampung, ramai tukang basuh, tetapi berapa orang sahaja yang sanggup berdiri lama di dapur? Dengan anak kecil lagi," kata @wanikamarol.

"Saya memang guna pinggan pakai buang walaupun rumah ada dishwasher. Saya tiada masa nak basuh, nak layan tetamu lagi. Tetapi, pinggan pakai buang yang dibeli itu biarlah tebal sikit, nampak mahal," tulis @mfammuha.

Membaca satu-persatu komen ada juga yang terpaksa memilih koleksi pinggan pakai buang kerana faktor kesihatan terutamanya mereka mengalami yang mempunyai masalah sakit belakang.

"Sebagai orang yang ada slip disc, saya memilih pinggan pakai buang untuk sediakan buat tetamu. Lebih mudah. Saya tidak gemar cuci pinggan, mahu upah orang pun tidak pernah terfikir," kata @annekfli.

Lebih menarik, isu alam sekitar turut menjadi pertimbangan bagi sesetengah individu. Seperti yang dikongsi oleh @jehanbakar, beliau menolak penggunaan pinggan pakai buang kerana kesannya kepada alam sekitar.

“Kita menyumbang kesan buruk kepada tanah apabila menggunakan pinggan pakai buang. Ia adalah sebahagian jihad saya untuk alam sekitar," ujar beliau

Dari sudut pandangan tetamu pula, ramai tidak kisah dengan jenis pinggan digunakan.

“Pandangan sebagai tetamu, tak pernah pula pergi rumah orang dan persoalkan kenapa guna pinggan pakai buang. Saya teruja untuk makanan sahaja,” kata @ainsanely.

“Saya pilih pinggan pakai buang sebab dah tentu-tentu bersih dan belum digunakan. Kalau pinggan biasa tu takut tak bersih sebab kadang-kadang sisa makanan lama pun masih melekat," komen @atiqahfadil.

Setiap keluarga mempunyai pendekatan tersendiri dalam menjamu tetamu. Tidak kira pilihan yang dibuat paling penting adalah layanan mesra, keikhlasan dan kemeriahan suasana hari raya diraikan bersama insan tersayang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram