Lagu 'evergreen', Rindu Bayangan nyanyian Jay Jay pernah juarai carta 13 minggu berturut-turut


  • Hiburan
  • Rabu, 07 Ogos 2024

Pemergian Allahyarham Jay Jay disifatkan sebagai satu khabar duka buat penggiat dan peminat industri muzik tempatan.

PASTINYA peminat ramai mengenali kumpulan Carefree yang popular sejak tahun 1980-an.

Manakan tidak, kumpulan itu pernah membawakan banyak lagu-lagu pop catchy yang mudah diingati dengan liriknya yang sering kali menyentuh tentang percintaan dan kehidupan seharian.

Baru-baru ini, peminat dunia hiburan dikejutkan mengenai berita tentang penyanyi popular yang juga bekas vokalis kumpulan Carefree, Jay Jay yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Thompson Kota Damansara, Petaling Jaya pada Ahad.

WhatsApp Image 2024-08-07 at 1.22.51 PM

Mohd Hanif mengimbau kenangan menyanyikan lagu Jay Jay sewaktu berada di alam persekolahan.

Di sebalik ucapan takziah yang diberikan, ramai peminat mulai mengimbau kenangan lama tentang lagu yang pernah dipersembahkan oleh kumpulan itu.

Detik yang sukar dilupakan adalah sewaktu berjudul Rindu Bayangan pernah menjuarai carta selama 13 minggu berturut-turut.

Lagu itu menjadi sangat popular pada zamannya dan masih dikenang sebagai salah satu lagu ikonik dalam industri muzik Malaysia.

Perkara itu didedahkan oleh seorang pengguna di Facebook, Mohd Hanif yang mengimbau kenangannya sewaktu berada di alam persekolahan.

Katanya, ramai pelajar menyukai lagu 'Chord Melayu' seperti berjudul Rindu Bayangan, Anak, Baju Hijau dan Bayangan Tarimu.

"Bayangan Tarimu (saduran lagu Shadow Dancing nyanyian Andy Gibb) yang suaranya mirip suara Jay Jay sering dimainkan oleh budak-budak hostel dahulu," katanya.

Tidak hanya itu, semasa masih bersekolah, Hanif berkata, pelajar senior sering mengajarnya chord lagu Belaian Jiwa nyanyian Simon Justin Leo dalam album Carefree.

"Memang intro dan chord agak rumit sebab adanya D7sus4, Em7, C major7, G9, Bm7 dan banyak running chord.

"Lagu Belaian Jiwa bukan saja diminati oleh orang Melayu tetapi diminati dan dinyanyikan juga oleh orang Cina dan India," katanya.

Tidak hanya itu, Hanif berkata, di majlis-majlis perkahwinan juga sering kali diputarkan lagu berjudul Joget Teruna Dara, Joget Mak Enon, Joget Anak Gembala, Baju Hijau dan lagu lain yang dinyanyikan oleh Jay Jay bersama kumpulan Carefree.

Bagaimanapun, dia terkilan apabila Jay Jay tidak memperoleh gelaran Datuk sewaktu masih hidup memandangkan banyak menyumbang jasa kepada industri muzik.

"Allahyarham banyak berjasa dalam industri muzik di negara ini, maka selayaknya jasa beliau dihargai," katanya.

Selain itu, pengguna yang lain, Ash Othman berpendapat bahawa Jay Jay sangat menjaga nama baiknya dan mengelak daripada sebarang kontroversi.

"Aku membesar dengan lagu-lagu Jay Jay. Artis yang bebas kontroversi dan baik. Teringat arwah ibu pernah bertanya kepadaku tentang nama sebenar Jay Jay.

"Aku baru tahu rupanya Fauzi Darus. Banyak juga soalan-soalan lain yang ibu tanyakan kepadaku tentang Jay Jay. Sewaktu itu aku sedar bukan aku sahaja tetapi arwah ibu aku pun suka dengar lagu Jay-Jay.

"Terima kasih Jay Jay kerana meninggalkan sedikit kenangan indah yang aku boleh imbau dengan arwah mak," katanya.

WhatsApp Image 2024-08-07 at 1.22.04 PM

Peminat kumpulan Carefree, Isman Bani melukis potret wajah Jay Jay.

Pengguna lain, Isman Bani pula menyiarkan lukisannya tentang Jay Jay sebagai tanda kenangan buat ahli kumpulan Cafefree itu.

"Contengan pada Selasa untuk mengingati beliau yang kembali pada 4 Ogos 2024 ini.. Macam biasa pencil warna. Tak siap, tangguh dulu.

"Lagu kumpulan Carefree berjudul Rindu Bayangan memang menjadi nyanyiku semasa sekolah rendah dahulu.

"Teringat poster Carefree yang berambut afro. Hebat betul aku rasa pada zaman tu. Sekarang rasa fesyen itu akan muncul kembali," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram