LAMBAKAN warga asing pada ketika ini sering kali menjadi isu yang menjadi bualan dalam kalangan warga maya.
Manakan tidak, ada segelintir daripada mereka bersikap kurang ajar dan tidak mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.
Malah, ada yang sesuka hati menjalankan perniagaan tanpa permit dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) terutamanya yang melibatkan kesihatan.
Terbaharu, seorang penduduk di Taman Semenyih Ria, Semenyih, Kajang, Selangor, @Vandeeta3 menggesa pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk mengambil tindakan segera terhadap warga asing dipercayai Bangladesh yang menjual daging di salah sebuah premis kedai di kawasan itu.
Melalui satu ciapan pada Ahad, warga asing berkenaan dirakam melapah daging di kawasan yang tidak sesuai dan kotor.
Dakwanya lagi, warga asing tersebut memberi respons yang kurang ajar apabila ditegur.
"Sudah macam tinggal di Bangladesh, suka hati kau (warga asing) melapah daging di atas lantai.
"Bila aku bising, boleh pula sebut nama MPKj 'tak tegur dan tak kacau' mereka.
"Harap MPKj ambil tindakan dengan segera," ciapnya.
Tangkap layar aduan yang telah dilaporkan kepada pihak MPKJ.— Twitter
BACA LAGI : [VIDEO] Tatkala Muhyiddin komen pasal Nik Elin Zurina, video anak jadi jockey kelab malam pula tersebar
Tambahnya lagi, tempat warga asing melapah daging itu juga kotor dan bersebelahan dengan tong sampah.
Ciapannya itu turut mengundang pelbagai respons daripada pengguna warga maya.
"Tiada kesudahan masalah warga asing ini, aku tinggal di kawasan Balakong, Selangor dan masalah tersebut sudah berlarutan selama 15 tahun.
"Pasar malam dikuasai orang Indonesia dan Bangla berniaga. Kaki lima jual sirih, rokok dan lain-lain. Masalahnya sampai bila?" soal @Fie_RS.
Sementara itu, seorang pengguna X, @Malaysia24x tampil membantu melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya perkara tersebut sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa yang terlibat dan akan diambil tindakan segera.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh semua pihak terlibat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram