SEORANG pelajar lelaki di Ecuador mengalami kecederaan parah selepas terjatuh daripada ketinggian tujuh meter gara-gara ingin mengambil selipar yang tersangkut di atas bumbung dewan serbaguna sekolah pada Khamis lepas (8 Februari).
Memetik laporan media antarabangsa EXPRESO, kejadian itu berlaku di Guayaquil dekat Wilayah Guayas, Ecuador.
Pada masa sama, video berdurasi 17 saat itu turut tular di laman media sosial X (Twitter) sejak Isnin.
Melalui video yang dikongsikan, pelajar tersebut pada mulanya dilihat cuba untuk mengambil sesuatu dipercayai selipar yang tersangkut di rangka bumbung dewan berkenaan.
Selepas mangsa berjaya mengambil selipar itu dan membuangnya ke bawah, dia dilihat seperti hilang keseimbangan serta cuba bergayut dan terjun ke bawah sebelum terjatuh.
Lebih malang lagi, mangsa yang terjatuh dengan kakinya mengenai lantai dewan tersebut terlebih dahulu. Rakan-rakan mangsa yang berada di tempat kejadian terus mengerumuni mangsa yang kelihatan menahan kesakitan.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Kecemasan dan Penyelamat Guayaquil dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian tersebut pada waktu tengah hari.
"Mangsa yang terjatuh menerima rawatan awal oleh kakitangan yang bertugas sebelum dihantar ke Hospital Los Ceibos di Del Bombero.
"Pelajar malang itu mengalami kecederaan di beberapa anggota badan terutamanya di pinggang dan serviks," katanya.
Namun, setakat berita ini ditulis, tidak dapat dipastikan keadaan sebenar mangsa dan tiada sebarang kenyataan atau maklum balas yang dikeluarkan oleh pihak sekolah berhubung insiden tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram