
PELANCONG Malaysia yang mahu menikmati keindahan kawasan kepulauan di Thailand diingatkan agar tidak terpedaya dengan kata-kata manis pengendali pelancongan di negara itu yang sanggup merisikokan nyawa orang lain demi menganut keuntungan.
Berdasarkan perkongsian akaun Twitter @traveljimat, pengendali bot di Thailand tidak menghiraukan keadaan laut berombak terutamanya di musim monsun semata-mata mahu mendapatkan pulangan dengan membawa pelancong untuk melawat kawasan kepulauan.
"Hati hati kalau nak pergi pulau kat area Thailand. Orang mereka semua 'can sir' 'can sir' walaupun ombak besar," tulisnya selain berkongsikan rakaman insiden bot karam yang berlaku baru-baru ini.
Dalam kejadian yang berlaku pada Ahad lalu, sebuah bot laju yang membawa 73 pelancong asing dan empat anak kapal terbalik ketika belayar dari pulau Ko Lipe menuju ke pulau Ko Lanta, Krabi, Thailand.
Pengendali bot itu tetap membawa pelancong walaupun keadaan cuaca buruk.
Menurut laporan, pada awal kejadian tersebut, kapten bot itu didakwa membawa laju bot walaupun berdepan dengan ombak kuat.
Kemudian, sekitar pukul 10.10 pagi, pasukan penyelamat dimaklumkan bahawa bot berkenaan, Bundhaya 19 karam berhampiran pulau Bu Bu, Thailand.
Tentera laut Thailand kemudiannya segera menghantar bot bantuan dan enam pegawai keselamatan bagi membantu menyelamatkan mangsa yang terjejas.
Tidak lama kemudian, sebuah lagi bot laju, Ploy Siam 559, menyelamatkan kesemua 73 pelancong iaitu diantaranya 70 dewasa dan tiga kanak-kanak dengan bersama empat anak kapal.
Manakala bot laju ketiga, Fazia Hana 9, membantu membawa bagasi mangsa dan kesemuanya selamat dibawa ke destinasi mereka di pulau Ko Lanta.
Kejadian ini menyebabkan beberapa mangsa mengalami kecederaan selepas terjatuh daripada bot yang dinaiki mereka.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram