![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2023/11/13/2385907.jpeg)
TULAR di media sosial apabila seorang murid diberi surat rujukan kepada doktor untuk melakukan pemeriksaan kerana kesukaran menguasai pelajaran.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook, Muhammad Aiman Abdullah membangkit perkara tersebut kerana timbul kekeliruan apabila kanak-kanak itu dikatakan lemah dalam pengusaaan pembelajaran tetapi masih memperoleh tahap penilaian yang baik.
"Seorang murid diberikan surat untuk jumpa doktor atas sebab masalah penguasaan 3M (Membaca, Mengira, Menulis) tetapi diberikan Tahap Penguasaan (TP3) untuk subjek BM dan Matematik. Murid itu perlu jumpa doktor atau pentadbir dan guru-guru perlu jumpa doktor sebenarnya ini?" soalnya.
Turut dilihat, surat pentaksiran pelajar mencapai tahap pengetahuan dan kemahiran bahasa yang memuaskan bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.
Tetapi, isi surat yang diberikan kepada doktor itu seperti menggambarkan bahawa murid tersebut berdepan kesukaran untuk menguasai skil 3M.
Rata-rata pengguna media sosial berharap agar UPSR dikembalikan.
"Pihak sekolah telah mengenal pasti murid ini berpandukan instrumen saringan pemulihan yang melibatkan penguasaan 3M. Diharapkan pihak tuan dapat menjalankan pemeriksaan serta memberi rawatan yang sewajarnya kepada pelajar ini," lapor surat berkenaan.
Bagaimanapun beberapa isi kandungan penting surat itu disembunyikan termasuk tarikh surat itu dikeluarkan selain nama penerima dan pihak sekolah.
Menjengah ke ruang komen, rata-rata pengguna berasa perlunya Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) diperkenalkan semula bagi mengelak isu yang sama timbul.
"Sebab itu perlu ada semula UPSR," kata Wan Norizan Wan Othman.
"Kembalikan ujian bertulis yang ada markah.... biru merah, warna kebanggaanku," kata Nazry Abu.
"UPSR wajib diadakan semula. Kalau tak, memang beban (dan) melampaulah untuk guru sekolah menengah," tulis Khairul Ismail.
"Kenapa takut nak beri Tahap Penguasaan 1 atau 2 jika benar budak itu tidak boleh membatangkan suku kata sekali pun? Saya beri sahaja sebab saya yang ajar dan kenal murid saya. Adalah bukti dan intervensi ya," tulis Wyda Waheeda Hadi.
Tiada kenyataan dikeluarkan pihak berwajib berhubung perkara itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram