
SEJAK kebelakangan ini Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadi pasukan yang dikaitkan dengan masalah dalaman terutamanya selepas prestasi di beberapa kejohanan domestik menjadi tanda ukur prestasi kelab berkenaan.
Selepas Sang Kenari dikejutkan dengan kekalahan 3-0 kepada Kuching City di laman sendiri dalam saingan suku akhir kedua Challenge Cup, ia mengesahkan bahawa KDA FC secaRa rasminya terlepas semua trofi musim ini.
Oleh itu, tidak hairanlah jika penyokong Hijau Kuning mengaitkan masalah dalaman mereka iaitu isu tunggakan menjadi asbab KDA FC gagal memberikan persembahan memuaskan dalam beberapa aksi kebelakangan ini.
Walaupun masih tiada sebarang kenyataan rasmi dari pihak pengurusan KDA FC mengenai isu luar padang itu namun wakil daripada penyokong skuad Hijau Kuning tampil berkongsi perkembangan semasa mengenai isu panas tersebut.
Difahamkan, wakil penyokong KDA FC iaitu Green Yellow Supporter Club berkongsi di laman Facebook peribadinya iaitu Jusnaidi Gysc menyatakan bahawa dia sudah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Khamal Idris Ali.
Penyokong berkenaan mendedahkan bahawa KDA FC sememangnya kini mengalami beberapa masalah dalaman namun ia bukan alasan untuk peminat Sang Kenari terus mengendahkan sokongan terhadap pasukan Utara tanah air itu.
KDA FC tewas di tangan Kuching City FC dalam aksi suku akhir MFL Challenge Cup. — Facebook/KDAFC
“Pertemuan bersama pengurusan serta CEO KDA FC dua hari lepas memberi jawapan atas segala permasalahan yang berlaku ketika ini. Tak semua boleh didedahkan di media sosial. Memang diakui KDAFC kini ada beberapa masalah dalam urusan pentadbiran tetapi ia dalam usaha untuk diselesaikan seberapa segera yang boleh.
“Sebagai penyokong kita harus terus memberi sokongan dan sentiasa berdoa agar urusan Tan Sri (Tan Sri Mohd Daud Bakar) dipermudahkan begitu juga KDA FC. Terus memberi sokongan, teguran membina dan semangat kepada Kedah Darul Aman FC.
“Jika kita asyik pertikai kelemahan dan kegagalan mereka, kita sendiri pun mash gagal. Mentaliti penyokong perlu berubah. Kita bukan di era dulu. Apabila kelab sudah diswastakan, tapa sokongan, kewangan dan kekuatan, kita tak mustahil akan terus lenyap. Nak ke sampai jadi macam itu,” tulisnya dalam catatan di laman Facebook.
Pemain ke-12 Kedah itu juga menyatakan bahawa jika sesiapa individu mempunyai dana kewangan yang kukuh dipersilakan untuk tampil memberi pertolongan kepada pasukan Hijau Kuning.
Sekalipun masalah dalaman itu berterusan, wakil penyokong tersebut juga berharap agar penyokong memainkan peranan untuk turun ke stadium bagi membantu penjualan tiket KDA FC.
Daud Bakar difahamkan sedang berusaha menyelesaikan isu dalaman itu. — Facebook/KDAFC
“Sesiapa saja pada ketika ini jika ada kekuatan, kebolehan dan yang utama dana yang kukuh boleh saja tampil diri untuk mengambil alih. Tapi jika hanya semangat tapa dana dan mengharap dari kerajaan negeri semata, baik jangan ganggu.
“KDA FC bukanlah di era dulu yang mana campur tangan politik sentiasa masih boleh mengekang masalah kekurangan dana. Kini kita dah diswastakan. Bukan boleh halau orang keluar atau panggil masuk macam tu saja.
“Dan satu nasihat pada penyokong yang masih sayang pada pasukan, jangan sebar sesuatu yang tak pasti. Untuk pemain, teruskan perjuangan walau ada halangan. Berjuang sejiwa murni. Apa sekalipun masalah dapat diselesaikan jika kita sama-sama membantu.
"Sebagai penyokong, jangan tunggu menang baru nak penuhkan stadium. Kehadiran kita membantu dana bagi mengurangkan kos perlawanan,” tulisnya.
Susulan pertemuan oleh penyokong itu, pengikut KDA FC berharap agar masalah dalaman tersebut dapat diselesaikan dalam masa terdekat sebelum isu berkenaan dilibatkan dengan pihak lain.
Terdahulu, bekas jurulatih KDA FC, Azraai Khor Abdullah memberitahu bahawa Daud Bakar difahamkan sedang berusaha menyelesaikan isu dalaman tersebut daripada semakin melarat.
Perkara optimis bahawa pihak pengurusan Sang Kenari yang diketuai oleh tokoh usahawan itu mampu menyelesaikan perkara berkenaan dan boleh mengembalikan Kedah seperti zaman kegemilangan mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram