Kehilangan yang dirasai, duo import JDT diharap segera pulang untuk bangkit di Bangkok


  • Podium
  • Rabu, 20 Sep 2023

Skuad Harimau Selatan menurunkan kesebelasan utama terbaik ketika berdepan Kawasaki Frontale pada Selasa. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

JOHOR Darul Takzim (JDT) memulakan kempen Liga Juara-juara AFC (ACL) dengan langkah kiri apabila tewas kepada kelab Jepun, Kawasaki Frontale.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Isnin, skuad Harimau Selatan memulakan aksi dengan cukup bertenaga.

Serangan bertali-arus dibuat ke arah pintu gawang lawan dengan percubaan demi percubaan dibuat, lebih-lebih lagi daripada gerakan licik Arif Aiman Hanapi.

Keputusan pengadil yang mengendahkan permintaan pemain JDT untuk meneliti dua kekasaran di dalam kotak penalti sudah pastinya menjadi topik perbualan hangat.

Namun, penggunaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) jelas mengukuhkan pendirian mereka, sekali gus memberi tekanan buat tuan rumah untuk meraih gol pendahuluan.

Memasuki penghujung babak pertama, skuad kendalian Esteban Solari terpaksa akur dengan kebolehan kelab Jepun itu yang mendapatkan jaringan menerusi percubaan akrobatik Marcinho.

1969304

Leandro difahamkan masih bergelut dengan isu kecederaan ketika ini. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Situasi sama turut dihadapi pada 45 minit yang kedua apabila JDT terus mengasak kubu pertahanan lawan, tetapi usaha mereka gagal membuahkan hasil.

Keputusan akhir tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan kini berada di tangga ketiga Kumpulan I dengan fokus mereka kini pastinya diberikan ke arah perlawanan berikutnya.

Bagi penyokong jaguh Liga Super berkenaan, mereka sudah semestinya mengharapkan persembahan lebih baik dapat dipamerkan ketika berdepan BG Pathum United pada 3 Oktober.

Namun, sesetengah daripada mereka berasakan ketiadaan dua tonggak import Argentina, Fernando Forestieri serta Leandro Velazquez menyukarkan hasrat itu.

Dalam satu hantaran di Facebook Pencinta Bola Sepak Malaysia, ramai berpandangan jentera serangan JDT dapat ditambah baik sekiranya kedua-dua pemain terbabit dapat diturunkan.

2260311

Kepulangan Forestieri semestinya dinanti-nantikan penyokong JDT. Facebook/JOHOR Southern Tigers

"Dua pemain yang dirindui penyokong JDT sekarang ni. Kalau ada Leandro dengan Forestieri tadi, dah boleh tapau rasanya Kawasaki Frontale," katanya.

Tinjauan di ruangan komen mendapat ramai turut bersetuju dengan pandangan itu apabila orang ramai mengharapkan mereka mampu pulang secepat mungkin.

"Betul, ketiadaan mereka dapat dirasakan. Semoga selepas ini, Forestieri dah boleh diturunkan. Budak nakal (Leandro) tu harapnya sembuh dengan segera," tulis Kamal Arshad.

"Ya, sangat setuju. (Juan) Muniz tidak mempunyai kebolehan sebaik Forestieri dan saya harap sangat Heberty dapat main sebagai penyerang," ujar Qul Leon.

"Main sedap dah semalam JDT. Kalau ada Forestieri dan Leandro mungkin boleh seri sekurang-kurangnya. Semoga dapat bangkit JDT," kata Zul Hisham.

Forestieri sebelum ini mengalami kecederaan, namun difahamkan sudah kembali dalam sesi latihan skuad utama berdasarkan perkongsian di laman media sosial rasmi kelab.

Bagi Leandro pula, isu kecergasan yang dialaminya dilaporkan masih belum selesai dengan perancang kelahiran Argentina itu sudah tidak diturunkan sejak 9 Ogos lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram