Mula turun latihan skuad utama JDT, Kalong diharap dapat peluang jadi sub aksi Piala Malaysia


  • Podium
  • Ahad, 03 Sep 2023

Gabriel Nistelrooy mencetak 12 jaringan gol dalam 13 aksi Piala MFL bersama JDT II. — Facebook/JDT

SAINGAN Liga Super kini terpaksa berehat selama dua minggu bagi memberi laluan buat skuad kebangsaan untuk melaksanakan perlawanan persahabatan antarabangsa mengikut kalander FIFA.

Namun ia bukan alasan untuk setiap kelab daripada berehat kerana cuti dua minggu ini mereka gunakan untuk adakan perlawanan persahabatan dan ada juga yang meneruskan latihan seperti biasa bagi mengekalkan stamina para pemain.

Johor Darul Takzim (JDT) tidak terkecuali daripada membuat perkara tersebut apabila dilihat terus komited menjalankan latihan mereka walaupun perlawanan seterusnya dijadualkan berlangsung kira-kira dua minggu lagi.

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh laman rasmi Facebook JDT, latihan tersebut dijalankan seperti biasa meskipun ketiadaan beberapa pemain utama namun menariknya, Esteban Solari memberi peluang beberapa pemain skuad Piala MFL untuk menyertainya.

Antara kelibat tonggak JDT II yang dipanggil menyertai latihan skuad utama ialah Daryl Sham KK George dan penyerang sedang meningkat naik, Gabriel Nistelrooy Tamin.

WhatsApp Image 2023-09-03 at 18.48.21-2

Gabriel Nistelrooy ketika latihan bersama skuad utama JDT. — Facebook/JDT

Kehadiran Gabriel Nistelrooy ataupun pemain yang dikenali sebagai Kalong dalam kalangan penyokong itu dalam latihan skuad utama membawa keterujaan kepada pengikut Harimau Selatan untuk melihatnya beraksi di bawah kendalian pengendali Argentina itu.

Musim ini, pemain dari Miri Sarawak itu perlahan-lahan mencipta namanya apabila sudah mencetak 12 jaringan gol dalam 13 aksi sekali gus meletakkannya penjaring terbanyak dalam Piala MFL di samping penyerang import Kedah, Ebenezer Assifuah.

Oleh itu, ramai penyokong berharap agar Solari memberinya peluang kepada penyerang berusia 23 tahun itu untuk dijadikan pemain gantian pada aksi menentang Negeri Sembilan FC bagi saingan suku akhir Piała Malaysia pada 15 September nanti.

“Tahniah Kalong (Gabriel) cari ilmu dan pengalaman. Agi hidup agi ngelaban (selagi hidup selagi itu melawan),” kata penyokong, Wandy Wandy.

“Boleh jadi pemain gantian pada aksi Piala Malaysia ini nanti,” tambah penyokong Harimau Selatan, Hampir Ketawa.

Seperti sebelum ini, Solari menggunakan dua tonggak skuad Piala MFL iaitu Aysar Hadi dan Daryl Sham sebagai pemain gantian pada aksi Piala Malaysia menentang Kelantan FC yang mana menyaksikan kedua-duanya masing-masing menjaringkan satu gol dalam kemenangan 10-0 ke atas kelab Pantai Timur itu.

Untuk rekod, Gabriel Nistelrooy mula menyertai JDT IV pada 2019 selepas berjaya memikat ketua jurulatih, Gonzalo Sanz Zaballos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram