MESKIPUN mengalami kekalahan kepada PDRM FC dengan keputusan 1-2, Selangor FC masih mampu tersenyum apabila mereka akan beraksi dalam suku akhir Piala Malaysia.
Selepas mendahului menerusi jaringan Yohandry Orozco, skuad Gergasi Merah gagal meneruskan persembahan cemerlang ketika beraksi di laman sendiri.
Gol daripada pemain skuad Sang Saka Biru, Nabil Ahmad Latpi menjadikan agregat 5-2 yang berpihak kepada anak-anak buah Tan Cheng Hoe.
Perkara itu bagaimanapun dibalas dengan serangan demi serangan daripada Selangor FC yang cuba untuk meraih kemenangan di Stadium MBPJ, Selangor.
Namun, hasrat itu tidak tercapai apabila PDRM FC sekali lagi menggegarkan gawang mereka menerusi gol Dzulfahmi Abdul Hadi pada penghujung perlawanan.
Kekalahan tersebut pastinya mencalarkan satu hari yang cukup baik buat skuad Gergasi Merah dengan ribuan penyokong berharap kemenangan dapat diraih.

Orozco membuka jaringan dalam aksi kedua Piala Malaysia menentang PDRM FC. — Facebook/Selangor FC
Melihat kepada komen yang diberikan di media sosial, peminat setia pasukan Lembah Klang itu menyalahkan persembahan sebilangan pemain.
Antara yang disebut-sebut pastinya penyerang kelahiran Ghana, Richmond Boakye yang diletakkan dalam kesebelasan utama untuk mencipta persefahaman dengan pemain lain.
Tetapi, di sebalik kecaman itu, mereka masih boleh tersenyum ketika melihat aksi bersemangat daripada perancang tengah, Yohandry Orozco.
Di samping membuka jaringan pada minit ke-22, pemain kelahiran Colombia berkenaan turut mencipta beberapa peluang di hadapan pintu gol PDRM FC.
Meskipun dia dikeluarkan pada separuh masa pertama, penyokong masih sempat memberikan pujian menggunung terhadapnya atas sumbangannya sepanjang berada di atas padang.
"Orozco betul-betul memberikan sentuhan penting untuk Selangor FC sejak dua menjak ini," kata Ammar Najmi.
"Ingat lagi dulu kita selalu kecam-kecam Orozoco ni. Tapi, sekarang aku pun dah cukup berminat untuk tengok dia main," kata Halim Jaafar.
"Silap juga rasanya Cheng Hoe keluarkan Orozco tu awal sangat. Main makin padu, hantaran juga semakin cemerlang," ujar Karim Kajang.
Musim ini, pemain berusia 32 tahun itu memainkan peranan cukup penting buat Selangor FC apabila dia menjaringkan tiga gol serta mencipta lapan bantuan jaringan dalam 19 penampilan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
