'Jangan anak tirikan kami', pekerja tuntut kerajaan pertimbang kaji kenaikan gaji sektor swasta


Anwar berkata, cadangan untuk menubuhkan pasukan mengkaji gaji penjawat awam itu wajar diberikan pertimbangan walaupun negara ketika ini terikat dengan kekangan kewangan.

INISIATIF kerajaan memberi jaminan akan mengkaji semula gaji dan elaun penjawat awam seluruh negara dalam masa terdekat rata-rata disambut baik oleh kakitangan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana kali terakhir kadar gaji berkenaan digubal adalah pada 2013 dan ia dilihat tidak setimpal dengan tugasan.

“Kali terakhir gaji penjawat awam (dinilai) adalah pada tahun 2013 lalu dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamad telah kemukakan pandangan kepada saya untuk mulakan pasukan mengkaji.

“Jadi saya dah bersetuju dan kita akan bentangkan pada jemaah menteri supaya diberikan kelulusan dan pasukan ini boleh terus memulakan kerja untuk memberikan cadangan kepada kerajaan untuk melihat (mengkaji),” katanya pada Jumaat lalu.

Namun begitu, ia menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan sebahagian besar pekerja swasta dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai kurang adil.

Seorang pengguna media sosial, Marq berasakan mereka yang bekerja dalam sektor swasta sering kali dianak tirikan dalam hal ehwal kenaikan gaji dan pemberian bonus daripada kerajaan.

Menurutnya, pengumuman itu hanya menggembirakan penjawat awam sedangkan secara dasarnya, kenaikan gaji walaupun sedikit dapat membantu menyelesaikan masalah kos sara hidup yang semakin meningkat dewasa ini.

"Ye la, asyik lebihkan pekerja kerajaan tetapi pekerja swasta dianak tirikan. Lupakan anak muda di sektor swasta," katanya.

Che turut mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri tersebut.

"Rakyat Malaysia yang tidak berpeluang bekerja sebagai penjawat awam pula bagaimana?

"Penjawat awam sudahlah bergaji tetap bonus lagi. Macam-macam kelebihan dan masih mahu dinaikkan gaji? Adil kepada rakyat lain yang nak dapat RM1,000 sebulan pun susah?," soalnya.

Shah Aman turut meninggalkan komen yang sinis terhadap cadangan tersebut.

"Asyik gaji penjawat awam, pekerja swasta bila nak naik? ," katanya.

Sementara itu, Azreen Hidayah berharap agar kerajaan perlu bertindak adil kepada semua pihak.

"Kerajaan perlu bertindak cepat dan adil untuk semua pihak supaya pekerja swasta pun tak terbeban dengan kenaikan harga barang dan mendapat pembayaran gaji yang sepatutnya," katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram