Warga maya 'nasihat' menteri kalau ada rasuah, lapor SPRM jangan pilih bulu dan ambil tindakan sendiri


Tiong menjelaskan tidak mahu mendedahkan perkara tersebut kerana sedang bertindak mengikut saluran serta platform yang lebih praktikal.

GEJALA rasuah berleluasa merupakan antara jenayah yang sukar dibanteras, apatah lagi jika ia melibatkan golongan yang mempunyai kuasa, orang kenamaan atau individu bergelar 'very important person' (VIP).

Manakan tidak, dengan hanya suapan berbentuk wang atau harta benda, individu terlibat jadi gelap mata hingga sanggup berdiam diri daripada membongkarkan segala bentuk kejahatan, malah ada yang sanggup memeras ugut individu lain.

Baru-baru ini, Datuk Seri Tiong King Sing mengakui terlibat dalam insiden kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selepas menerima aduan daripada pelancong asing.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu mendakwa, kehadirannya di lapangan terbang tersebut membongkar peristiwa memalukan, apabila wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

Namun begitu, kenyataan beliau semestinya mendapat perhatian warga maya, yang tidak terlepas peluang untuk menasihatinya agar berhati-hati ketika membuat sebarang dakwaan.

Menurut seorang pengguna Facebook, Jaya SN, menteri tersebut tidak seharusnya membuat tindakan melulu tetapi sebaliknya menyiasat terlebih dahulu sebelum bertindak.

"Sekadar dakwaan yang dilakukan walaupun daripada seorang menteri belum tentu benar. Kebenaran hanya mampu dibuktikan dengan adanya penyiasatan.

"Jadi, siasat dahulu dan jika terbukti benar, maka tindakan harus diambil terhadap pesalah. Cuma jangan salah pilih bulu," katanya.

Seorang lagi pengguna media sosial, Rashid JJ turut bersetuju dengan Jaya SN.

"Usah pilih bulu, perlu siasat dulu kerana ini melibatkan integriti agensi lain," tulisnya.

WhatsApp Image 2023-07-02 at 19.47.56

Suasana tegang berlaku apabila pihak berkuasa di KLIA tidak membenarkan Tiong 'menyelamatkan' pelawat warga China tersebut. — Media sosial

Sementara itu, Riduan Bin Sulaiman Wan mempersoalkan tindakan Tiong yang tidak melaporkan perkara tersebut ke pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) terlebih dahulu.

"Mengapa tak melaporkan kepada pihak SPRM jika terdapat kegiatan rasuah oleh pihak Jabatan Imigresen? Mengapa menteri campur tangan dan ambil tindakan sendiri?

"Yang penting rakyat Malaysia nak tahu apa punca dan sebabnya perkara ini terjadi. Jangan pula jadi kisah lagu Bangau Oh Bangau ya?," katanya.

Selain menafikan kehadirannya di KLIA adalah untuk melepaskan pelancong asing yang ditahan pihak Imigresen, Tiong sebelum ini turut mendedahkan bahawa, terdapat pegawai yang meminta wang sehingga RM3,000 sekiranya pelancong asing yang ditahan mahu dilepaskan.

Tambahnya, kesemua maklumat itu akan diserahkan kepada SPRM untuk siasatan bagi memulihkan imej Malaysia terutama di pintu masuk negara.

"Dalam masa sama, saya akan bangkitkan perkara ini ke Kabinet termasuk cadangan memansuhkan ejen yang mengendalikan pelancong asing yang ditolak kemasukan (NTL – Not To Land) kerana dilihat semakin kronik," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram