TEKA-TEKI mengenai penyerang baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC akhirnya terjawab apabila mereka mengumumkan kehadiran pemenang dua Anugerah Kasut Emas Liga Super, Ifedayo Olusegun.
Kehadirannya itu dilihat untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain kelahiran Brazil, Willian Lira yang berpisah dengan skuad Sang Kenari 16 Jun lalu.
Reputasi Ifedayo sememangnya cukup dikenali apabila pernah mewakili beberapa pasukan tempatan, seperti Felda United dan Melaka United.
Namun, tahun-tahun perkhidmatannya bersama Selangor FC pasti tidak boleh dilupakan apabila dia menjadi salah seorang penyerang import terbaik pernah disaksikan.
Sepanjang dua musim bersama pasukan itu, pemain kelahiran Nigeria berkenaan itu hanya memerlukan 43 penampilan untuk menjaringkan 50 gol dalam kesemua kejohanan.
Bagaimanapun, dia akhirnya memilih untuk menyertai Melaka United pada awal musim 2022, namun jodohnya tidak lama dengan kelab itu apabila penyertaan mereka dalam Liga Super disekat.
Ifedayo disahkan sebagai rekrut baharu skuad Hijau Kuning untuk baki musim 2023. — Facebook/KDA FC
Kini, selepas kira-kira enam bulan tidak terikat dengan mana-mana pasukan, Ifedayo memilih untuk skuad Sang Kenari dengan harapan kehadirannya mampu melonjakkan lagi kedudukan pasukan itu dalam kancah Liga Super.
Tetapi, melihat kepada skuad Sang Kenari ketika ini, masih terdapat beberapa posisi yang perlu ditambah baik, lebih-lebih lagi dalam aspek pertahanan.
Pengumuman mengenai kehadiran Ifedayo ke KDA FC dibuat serentak dengan kemasukan seorang lagi pemain kelahiran Nigeria, Moses Atede Jona yang boleh beraksi sebagai pemain tengah.
Penyertaan kedua-dua import itu dilihat masih belum cukup untuk menguatkan lagi benteng pertahanan skuad Hijau Kuning dengan penyokong terus mengharapkan seorang lagi pemain luar negara dapat disambar.
Namun, harapan tersebut seperti sukar untuk direalisasikan memandangkan kuota mereka sudah dipenuhi dengan sembilan pemain import ketika ini.
Lee Tuck merupakan pemain naturalisasi yang dimiliki skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Bagaimanapun, dalam usaha untuk menyelesaikan perkara itu, penyokong seolah-olah memberi solusi terbaik bagi kebaikan kesemua pihak.
"Apa pendapat anda semua jika kita bawa masuk Ifedayo dan jadikannya pemain naturalisasi untuk Kedah kerana dia sudah lima tahun dalam Liga Malaysia," kata seorang peminat fanatik Hijau Kuning menerusi aplikasi WhatsApp.
Seperti dibincangkan di atas, Ifedayo mempunyai pengalaman cukup lama dalam Liga Super selepas menyertai Felda United pada 2017 sebelum kembali ke Bahrain untuk menyertai Al-Hidd.
Setahun selepas itu, pemain berusia 32 tahun tersebut kembali mewarnai arena bola sepak negara apabila bergabung dengan Melaka United.
Meskipun memiliki rekod jaringan yang baik, dia sekali lagi pulang ke Bahrain, namun kembali tidak lama selepas itu untuk menyertai skuad Gergasi Merah.
Ketika ini, KDA FC sudah mempunyai seorang pemain naturalisasi, iaitu Lee Tuck yang boleh dianggap sebagai tonggak utama pasukan meskipun usianya sudah menjangkau 34 tahun.
Selain itu, mereka turut memiliki pemain berdarah kacukan, Rodney Calvin dengan bapanya seorang warganegara Ghana, tetapi ibunya merupakan seorang yang berasal dari Sarawak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram