Tindakan Muda tegur PMX ibarat 'double standard', tak berbunyi bila PAS tegur pakaian ketat jururawat


Anwar ketika menghadiri Program Temu Anwar Negeri Sembilan di Dewan Tuanku Canselor, USIM, di Nilai, Seremban. — Facebook/AnwarIbrahim

SEAKAN-AKAN laku seperti pisang goreng panas, isu berkaitan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berseloroh meminta nombor telefon daripada seorang pelajar perempuan ketika sebuah program ‘Temu Anwar’ pada Sabtu terus mendapat perhatian ramai.

Malah, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), iaitu antara pihak terawal secara lantang membidas perbuatan itu dengan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta maaf secara terbuka susulan insiden yang berlaku Dewan Tuanku Canselor, USIM, di Nilai, Seremban, Negeri Sembilan.

Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, Anwar perlu meminta maaf untuk memberi contoh yang baik kepada semua lelaki lain.

Menurut Amira Aisya, ini kerana Perdana Menteri merupakan seseorang yang mempunyai kuasa dan kedudukan.

“Anwar perlu meminta maaf secara terbuka sebagai contoh yang baik kepada lelaki lain untuk buat mereka faham bahawa kelakuan ini tidak baik.

"Apabila ia terutamanya datang dari seseorang yang mempunyai kedudukan kuasa. Jika anda kagum dengan gadis itu, puji sahaja dia tanpa membuat komen yang mengganggunya,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Namun begitu, ada dalam kalangan warga maya yang tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Amira.

Pada masa sama, ada yang berpendapat parti tersebut hanya mengambil kesempatan untuk mengeruhkan lagi keadaan.

Seorang pengguna media sosial, @ikmalsanie berpendapat Amira mengeluarkan kenyataan yang berat sebelah dan tidak berasas kepada Anwar.

"Katanya, isu tersebut tidak perlu diperbesarkan dan sudah jelas Perdana Menteri ke-10 itu hanya bergurau dan tidak mempunyai maksud lain.

"Saya bukanlah penyokong atau pengundi Pakatan Harapan tetapi saya melihat perkara tersebut secara adil. Dia (Anwar) tidaklah sebodoh itu, jelas nampak hanya bergurau. Banyak lagi isu lain yang perlu dibangkitkan ketika ini.

"Kalau betul ingin memperjuangkan hak wanita, ramai yang terkesan di luar sana," ciapnya.

Sementara itu, @kobinath2715 meminta Timbalan Presiden Muda itu untuk tidak mencari publisiti murahan dengan mencetuskan isu berkenaan.

"Tak perlu cari publisiti murahan, disebabkan perkara inilah Muda tidak berada dalam kerajaan. Setahu saya, parti ini (Muda) daripada 'someone betrayal group'.

"Tolong beri lebih perhatian kepada isu rakyat di tempat sendiri di Johor.

"Terang-terang PMX berseloroh dan bukan 'objectifying' pelajar tersebut. Stop with this cheap political statement," ciapnya.

FziIkZOaQAEkiZV

Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya.

Sementara itu, @Nana menyifatkan parti Muda sebagai berat sebelah dan 'double standard'.

Menurutnya, sekiranya Muda ingin mempertahankan hak wanita, mereka sepatutnya menegur tindakan Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor yang menyatakan pakaian seragam jururawat terlalu ketat dan tidak patuh syariah.

"Mereka seharusnya sedar kenyataan Ahli Parlimen Kuantan daripada PAS itu bersikap seksis dan memandang rendah terhadap kaum wanita.

"Kenapa pada ketika itu, tiada seorang pun ahli MUDA yang berbunyi dan mengeluarkan kenyataan?," soalnya.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Isnin turut menepis dakwaan bahawa komen Perdana Menteri terhadap pelajar Tingkatan Enam semasa forum awam adalah seksis.

Dia berkata, komen itu disalah ertikan oleh sesetengah pihak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram