TINDAKAN pelawak berasal dari Singapura, Jocelyn Chia menjadikan Malaysia sebagai bahan jenaka ketika persembahan komedi berdirinya dilihat menimbulkan kehangatan dalam hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
Menerusi video tular sejak Rabu itu, pelawak wanita terbabit dilihat merendah-rendahkan Malaysia yang disifatkannya masih terperangkap sebagai negara membangun berbanding Singapura yang sudah mengecapi status negara dunia pertama.
Lebih mengejutkan, Jocelyn turut menjadikan peristiwa tragik kehilangan pesawat Malaysia Airlines, MH370 sebagai contoh jenaka ketika membincangkan topik tersebut.
Perbuatan itu ternyata mengundang kemarahan rakyat Malaysia yang menyifatkan pelawak terbabit sebagai tidak sensitif.
Perkembangan terbabit juga dilihat secara langsung menaikkan kembali kehangatan hubungan antara rakyat Malaysia dan republik itu yang sememangnya diketahui sentiasa melalui fasa pasang surut sebagai negara berjiran.
Susulan daripada itu, isu terbabit menyebabkan terdapat warganet mula kembali membuka cerita mengenai perangai tidak disenangi dalam kalangan segelintir rakyat Singapura.
Tangkap layar video tular Jocelyn yang membuat lawak jenaka merendahkan Malaysia menerusi satu persembahan komedi berdirinya.
Antara ditimbulkan adalah tindakan segelintir individu daripada republik tersebut yang memandu kenderaan dari negara itu dan senjaga menyalahgunakan minyak petrol subsidi (RON95) diperuntukkan khas buat rakyat Malaysia.
"Rakyat terpaling first world country curi minyak petrol subsidi rakyat Malaysia," tulis MALAYSIA MOST VIRAL di ciapan Twitternya yang turut berkongsikan gambar mengenai perbuatan tersebut yang didakwa berlaku di Shah Alam, Selangor.
"Dolar Singapura dah tukar ke Ringgit Malaysia dapat banyak pun tetap isi kuning. sedihhh," tulis SenahDebab.
"Pencuri kelas pertama?"soal mamabosan.
Dalam pada itu, terdapat warganet memberikan cadangan mengenai kaedah yang boleh digunakan mencegah perbuatan segelintir pengguna kenderaan asing yang menyalahgunakan pemberian petrol subsidi bersasar di dalam negara.
"Patut adakan satu trend atau games challenge di TikTok, 'misi mencari Singaporean isi minyak kuning (jenis RON95)'. Content siapa paling menarik, kita boost-kan," ujar Madeyshadow.
"Sebenarnya, kita ada ke sistem yang boleh lapor dalam talian, kemudian dia kena saman atau denda. Diorang tak boleh keluar selagi tak bayar saman dan denda tersebut. Kenapa Singapura boleh buat, kita tak boleh nak buat? Tak faham," tulis Fashah-udin.
Untuk rekod, Akta Kawalan Bekalan 1961 melarang penjualan pertrol bersubsidi jenis RON95 kepada kenderaan asing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram