KEDAH Darul Aman (KDA FC) memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri untuk mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Sabah FC 2-1.
Sabah lebih dulu memperoleh jaringan menerusi Gabriel Peres pada minit ketujuh hasil bantuan gol daripada Baddrol Bakhtiar.
Jaringan itu menewaskan Ifwat Akmal Chek Kassim yang diturunkan selepas beberapa perlawanan direhatkan di bangku simpanan.
Perlawanan yang bermula sengit terhenti seketika apabila pemain Sabah FC, Jailton Paraiba mengalami kecederaan di tengkuk akibat pertembungan dengan pertahanan KDA FC, Bojan Ciger.
Penyerang import Sang Badak itu diusung keluar dari padang sebelum ambulans masuk untuk membawa pemain itu ke hospital.
Keadaan Paraiba yang dibawa ke hospital. — WhatsApp
Permainan bagaimanapun diteruskan dengan Stuart Wilkin dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-33.
Sabah bagai hilang momentum selepas kehilangan Paraiba yang menyaksikan KDA FC memperoleh jaringan penyamaan pada minit ke-40 menerusi jaringan naturalisasi Sang Kenari, Lee Tuck.
Saingan pemburuan mata di bumi Darul Aman semakin sengit memasuki separuh masa kedua sebelum Lee Tuck memecahkan kebuntuan untuk meletakkan Sang Kenari di depan dengan kelebihan dua gol.
Jeneral tengah Hijau Kuning dari England itu mencuri tumpuan penyokong kerana tampil skema dengan mengenakan jersi secara tuck in.
Stuart Wilkin (kanan) menggantikan Paraiba. — KDA FC
Pemerhati sukan, T Avineshwaran berkata, apabila Lee Tuck menyematkan baju di dalam seluar, dia bermain secara serius.
"Dia tidak perlu menjadi bateri (energiser bunny) untuk Kedah. Lee Tuck hanya perlu hidu kesalahan lawan untuk mengambil kesempatan ke atas Sabah FC. Simple yet devastating," katanya.
Sementara itu, seorang penyokong Sabah FC, Iqman berkata, kehilangan Paraiba menyebabkan dinamik permainan berubah.
"Lepas Paraiba tiada, permainan jadi berterabur, pemain macam down sudah," katanya.
Lee Tuck dan Hidalgo menjadi nadi utama KDA FC ketika menentang Sabah FC. — KDA FC
Seorang lagi penyokong The Rhinos, Zahid mengandaikan taktikal Sang Kenari di bawah bimbingan Nafuzi Zain semakin menampakkan hasil.
"Kedah main corak baharu permainan. Attacking lain macam. Sabah masih taktikal lama," katanya.
Dalam pada itu, pengulas perlawanan memaklumkan bahawa Paraiba sudah menjalani x-ray namun namun tiada yang begitu serius.
Begitupun, peledak Brazil itu perlu menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT scan) untuk rawatan lanjut.
KDA FC menduduki tangga keempat dengan 25 mata menerusi 13 perlawanan manakala Sabah di tangga kelima dengan 24 mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram