TMJ diharap ban seumur hidup budak BOS pukul keluarga fans Selangor MAC


  • Podium
  • Ahad, 28 Mei 2023

Tangkap layar video pergaduhan membabitkan penyokong JDT dan Selangor MAC pada Sabtu.

AKSI perlawanan antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor MAC bagi saingan perlawanan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) 2023 dicemari dengan insiden pergaduhan penyokong kedua-dua pasukan.

Kekecohan itu difahamkan berlaku di luar Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor selepas perlawanan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) 2023 selepas menyaksikan kedua-dua pasukan berakhir dengan keputusan seri 1-1

Pergaduhan tersebut difahamkan menjadi sangat tegang sehingga didakwa beberapa penyokong dalam kalangan Boys Of Straits (BOS) bertindak di luar kawalan sehingga mendatangkan kecederaan kepada pemain ke-12 Selangor MAC.

Lebih parah lagi apabila didakwa terdapat penyokong BOS turut menyerang beberapa keluarga penyokong pasukan Lembah Klang itu sehingga kelihatan seorang wanita dilihat meraung sekuat hati apabila dia dan kanak-kanak yang dipegangnya dipercayai turut dikasari oleh beberapa lelaki yang berada di lokasi kejadian.

Menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu perkara yang menyusahkan penyokong pasukan pelawat, penyokong Selangor MAC meminta agar pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim mengambil tindakan terhadap kesemua suspek terlibat.

WhatsApp Image 2023-05-28 at 11.13.03 AM

Keadaan tangkap layar insiden pertelingkahan dan penyokong yang cedera selepas terlibat dalam pergaduhan di luar Stadium Tertutup Pasir Gudang pada Sabtu malam. — Facebook/IrwanYusri

"Adalah sangat memalukan. Berharap pihak BOS mengeluarkan kenyataan berhubung kes memukul keluarga penyokong Selangor yang membawa anak kecil ke stadium. Juga mohon ban seumur hidup pada yang terlibat dalam memukul peminat Selangor. Video sebagai bukti ada. Jangan memalukan Johorean," komen penyokong Selangor, Eddy Hairul.

"TMJ, mohon Tuanku ambil tindakan kepada yang terlibat selepas tamat perlawanan futsal antara JDT lawan Selangor MAC. Ampun Tuanku," tambah seorang penyokong, Hadzri Ambiah.

"Apa cerita ini bosku. Nak lawan biar temu buku dengan ruas..sampai beduk orang patah tangan...kacau keluarga," kata penyokong, Mukhriz.

Bukan hanya pergaduhan selepas perlawanan, ada juga dakwaan daripada pihak atasan menyatakan pasukan Selangor MAC tidak dibenarkan untuk menyarung jersi sendiri sewaktu perlawanan sebenar berlangsung di stadium tersebut.

Mereka sebaliknya cuma dibenarkan memakai jersi latihan sahaja.

Namun difahamkan, larangan tersebut sebenarnya didakwa berlaku susulan pasukan pelawat menggunakan warna jersi sama dengan skuad futsal JDT.

Sehingga kini tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak JDT mahupun BOS berhubung kejadian tersebut namun laporan polis berkaitan serangan itu juga sudah dibuat di Balai Polis Pasir Gudang pada malam kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram