Penyerang asal benua Amerika buat 'throwback', fans TRW harap adakan reunion Julai nanti


  • Podium
  • Jumaat, 26 Mei 2023

Bervens (kiri) beraksi sebagai penyerang ketika bersama Kelantan FC. — Facebook/TRWKelantanFC

PERTUKARAN jurulatih di awal musim ternyata langsung tidak memberikan sebarang kesan kepada skuad Kelantan FC yang masih bergelut untuk mendapatkan keputusan positif dalam aksi Liga Super 2023.

Selepas melantik Frank Bernhardt sebagai Ketua Jurulatih The Red Warriors (TRW) pada 9 April lalu, kelab pantai Timur itu masih kempunan mendapatkan sebarang mata selepas tewas lima perlawanan berturut-turut.

Perlawanan terakhir liga pada Selasa menyaksikan Kelantan FC tewas kepada PDRM FC 4-1.

Dengan prestasi buruk dicatatkan itu, terdapat penyokong berpendapat pasukan kesayangan mereka itu memerlukan suntikan tonik baharu bagi mengubah haluan perjalanan mereka pada musim ini.

Ia antara lain dengan cara menandatangani rekrut baharu bagi memberikan tenaga yang lebih segar dalam membantu pasukan kembali mendapatkan prestasi yang diinginkan.

bervens 2

Bervens ketika beraksi bersama TRW pada musim lalu. — Facebook/TRWKelantanFC

Sebelum ini, terdapat beberapa pemain yang dikaitkan bakal ditandangani Kelantan pada musim perpindahan Julai ini.

Antara nama yang timbul ialah dua pemain dari Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Mohamadou Sumareh dan Ramadhan Saifullah.

Dalam pada itu, tindakan bekas penyerang importnya, iaitu Kervens Belfort yang berkongsikan klip rakaman aksinya bersama TRW pada musim lalu di hantaran Facebook miliknya baru-baru ini turut menarik perhatian penyokong.

Ini kerana pemain kelahiran Haiti yang masih tidak mempunyai kelab itu dilihat seakan-akan memberikan gambaran hasratnya untuk pulang bersama Kelantan FC.

Dalam pada itu, rata-rata penyokong TRW turut berkongsikan harapan kepulangannya di ruangan komen hantaran berkenaan.

"Terus bertarung untuk lencana di dada. Harapnya anda bangkit semula untuk berjuang bersama pasukan Kelantan yang sudah berjaya naik ke Liga Super. Kita mahu penyokong dapat melihat aksi terbaik," tulis Hasrul Srul.

"Belfort sebagai playmaker tambah dengan Cifuentes sebagai mapower. Kedua-dua pemain ini boleh menciptakan kemungkinan yang baik," ujar Faiz AbdSatad.

"Saya harap anda pulang semula ke Kelantan FC kerana anda yang terbaik," kata Muhamad Faznil.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Kervens memberi bayangan kemungkinan akan pulang ke pangkuan TRW.

Ini kerana pada 31 Mac lalu dia dilaporkan pernah berkongsikan keberadaannya di Malaysia sehingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong Kelantan FC mengenai kepulangan pemain itu.

Untuk rekod, TRW ketika ini mempunyai gandingan penyerang import iaitu Nuha Marong dan Ismahil Akinade.

Setakat 12 perlawanan yang diharungi, Ismahil hanya menyumbang tiga gol manakala Nuha pula masih gagal memecahkan kebuntuan jaringan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram