HARIMAU Malaya akan menghadapi dua perlawanan antarabangsa seterusnya pada Jun dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memilih Yaman dan Kepulauan Solomon sebagai lawan terbaharu anak-anak buah Kim Pan-gon (KPG).
Selain berpeluang memperbaiki kedudukan ranking FIFA, ia juga merupakan persiapan terbaik untuk saingan Piala Asia 2023 pada Januari tahun depan.
Mengikut kedudukan ranking FIFA ketika ini, Kepulauan Solomon menduduki kedudukan ke-136 manakala Yaman pula menduduki ranking ke-154 dunia.
Skuad kebangsaan Indonesia pula berbeza nasibnya apabila sah bakal bertemu jaguh dunia, Argentina dalam aksi persahabatan mereka.
Ini selepas juara Piala Dunia 2022 itu secara rasmi dijadualkan turun menentang Indonesia dan Australia pada Jun ini.
Skuad bimbingan Lionel Scaloni itu rasmi ke Asia untuk menguji kemampuan Australia di Beijing, China pada 15 Jun sebelum ke Jakarta untuk perlawanan pada 19 Jun.
Dua perlawanan itu bakal berlangsung dalam kalendar FIFA dan liga utama Eropah sedang bercuti sekali gus Argentina dijangka membawa pemain terbaik mereka seperti Lionel Messi, Julian Alvarez dan Emiliano Martinez.
Messi tidak semestinya akan bermain menentang Indonesia. — Agensi
Dengan kehadiran bintang-bintang ternama itu, fans Indonesia dapat bukan sahaja dapat melihat mereka secara dekat malah merasai suasana perlawanan ala Piala Dunia.
Hal itu tentunya mendatangkan sedikit rasa iri hati buat penyokong Harimau Malaya.
"Sedikit cemburu. Malaysia hanya jumpa Kepulauan Solomon dan Yaman," tulis laman penyokong, Palatao Bola.
Turut bersetuju @scttttt_ yang berasakan ia bakal menjadi pengalaman menarik buat skuad Garuda.
"Kalau Indonesia kalah sekalipun, bukan banyak juga tolak mata, yang paling penting dapat pengalaman jumpa juara dunia," katanya.
Malaysia perlu memperbaiki ranking FIFA untuk menarik lawan lebih kuat. — Facebook
Sementara itu, ada yang berasakan perkara itu tidak perlu menjadi bahan cemburu kerana Malaysia ada misi tersendiri untuk meningkatkan ranking FIFA.
"Malaysia tak perlu iri, cara kita sekarang push ranking FIFA dulu, ranking dah naik, lebih banyak negara yang layak Piala Dunia nak lawan dengan Malaysia. Perancangan KPG lebih bijak," ulas @2l0vqim_.
Tambah @soleheen, mungkin juga walaupun tonggak utama, Messi tak akan bermain bersama Argentia seperti yang berlaku ketika aksi menentang Singapura pada 2017.
"Messi mungkin datang, tapi belum tentu akan main. Kalau kualiti padang cun, baru dia akan main sebab nak elak kecederaan," ujar @frsnmn_ pula.
Selain menentang Argentina, skuad Garuda juga bakal berdepan dengan Palestin pada 14 Jun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram