AKSI antara Perak FC menentang Selangor FC di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada Sabtu dicemari insiden pergaduhan penyokong di dalam venue berkenaan ketika perlawanan berlangsung.
Kejadian tersebut dipercayai membabitkan penyokong 'casual' antara kedua-dua pasukan terbabit sewaktu separuh masa pertama perlawanan.
Susulan itu, empat lelaki ditahan polis dengan ujian saringan air kencing mendapati salah seorang daripada suspek positif dadah jenis THC (ganja).
Sebahagian penyokong Perak FC yang hadir menyaksikan perlawanan menentang Selangor FC di Stadium Perak pada Sabtu. — Facebook Perak FC
Perak FC pada Ahad menegaskan mereka akan mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa dalam masa terdekat bagi mengenal pasti pelaku dan mengambil tindakan larangan kehadiran ke stadium.
Bahkan Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin juga mahu memberi kerjasama membanteras pesalah daripada isu tersebut berulang.
Meskipun perkara itu sudah diuruskan oleh pihak polis, ada penyokong The Bos Gaurus (TBG) yang mahu bertemu empat mata dengan ketua kasual Perak FC berhubung kejadian terbabit.
Tangkap layar komen Meor Nasrul Ikram. — Facebook/ Info Bolasepak Perak
Penyokong tersebut, Meor Nasrul Ikram berkata, dia hendak berjumpa ketua kasual Perak FC bagi memberi amaran keras supaya mereka tidak lagi mengulangi perbuatan tidak bermoral itu di stadium.
"Aku nak jumpa ketua 'casual'. Tau apa saya nak buat dengan depa (mereka). Belakang aku kira lain. Buat pedajal memang kena dengan panglima.
"Ini stadium kami. Jangan buat kepala," tulisnya di Info Bolasepak Perak.
Sebagai rekod, suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.
Dalam perlawanan El Clasico Malaya itu, Perak FC tewas 0-4 di tangan Selangor FC yang menyaksikan skuad Sang Seladang kini menghuni tangga ke-11 carta liga dengan sembilan mata.
Selangor FC pula di kedudukan lebih baik apabila tersenarai di tangga kedua di belakang Johor Darul Takzim (JDT) dengan 25 mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram