KEHILANGAN khidmat sayap lincah Kelantan FC, Mohamad Ikhwan Yazek sememangnya akan memberi kesan kepada pasukan tersebut terutamanya di bahagian serangan dalam beberapa perlawanan akan datang.
Seperti diketahui sebelum ini pemain berusis 23 tahun itu mengalami kecederaan lutut di bahagian meniscus dan Ikhwan berkemungkinan terpaksa melupakan baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Kecederaan tersebut dialaminya ketika aksi menentang Kuala Lumpur (KL) CIty FC aksi pada 17 Mac lalu yang menyaksikan pasukan berpangkalan di Pantai Timur itu terikat 2-2 dengan skuad Warga Kota.
Dengan keadaan Ikhwan yang memaksa pemain berkenaan untuk berehat bagi proses rawatan dan pemulihan, skuad The Red Warriors (TRW) pastinya sedang mencari pengganti pemain kelahiran Pasir Mas itu.
Ikhwan ketika menerima kunjungan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang melihat keadaannya yang cedera. — Facebook/TRW
Pengganti Ikhwan nampaknya sudah ditemui apabila Danial Ashraf mulai menunjukkan semangatnya untuk merebut kesebelasan utama dalam pasukan di bawah bimbingan Choi Moon-sik itu.
Bukan itu sahaja, penyokong skuad TRW juga bersetuju jika pengendali dari Korea Selatan itu memberi kepercayaan kepada Danial untuk menjadi antara tonggak utama Kelantan selepas ini.
“Danial Ashraf memecut laju dalam latihan pada petang tadi (Ahad). Nampak pemain ini bersemangat untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama Kelantan setelah Ikhwan Yazek terpaksa berehat panjang,” kata laman penyokong TRW, Tumpat FC.
“Pemain ini perlu diberi peluang dalam kesebelasan utama sebelum ini dia main best. Sekarang banyak di bangku simpanan,” komen seorang lagi penyokong, Permata Hati.
“Bagi peluang ke Danial Ashraf main,” kata penyokong TRW, Wan Nazrim Wan Mustapha yang juga bersetuju agar pemain berusia 26 tahun itu diturunkan sebagai kesebelasan utama.
Danial baru tampil satu perlawanan bersama skuad TRW.— Facebook/TRW
Selepas mengharungi lima aksi Liga Super, Danial hanya tampil dalam satu perlawanan bersama skuad TRW iaitu ketika Kelantan bertemu bekas majikannya, Penang FC.
Dałam perlawanan itu Harimau Kumbang tewas 2-0 di tangan pasukan tuan rumah.
Kelantan FC yang kini menduduki tangga ke 10 Liga Super dengan mengumpul empat mata, pasti memerlukan pemain berkualiti untuk membantu memperoleh tiga mata dalam aksi menentang Negeri Sembilan FC pada 1 April nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram