'Keeper Malaysia dah buat awal', gol penjaga gawang Argentina buat fans imbau jaringan ajaib legenda HM


  • Podium
  • Sabtu, 25 Mac 2023

Selepas bersara, Shamsuri buat kemunculan semula dengan menyertai kelab di Liga FAM iaitu Real Mulia FC. — Facebook/HM

BARU-BARU ini penjaga gol Cobresal, Leandro Requena membuat kejutan apabila menjaringkan salah satu gol paling menakjubkan ketika pasukannya menang 3-1 ke atas Colo-Colo dalam Liga bola sepak utama Chile.

Requena menjaringkan gol ketiga untuk skuad The Miners pada minit ke-77 selepas Guillermo Alfonso Pacheco Tudela (8') dan Cecilio Waterman (34 ‘) menjaringkan gol pertama.

Manakala, Colo-Colo pula hanya mampu membalas satu gol menerusi Damian Nicolas Pizarro Huenuqueo (90+5’).

Menurut TNT Sports Chile, gol itu dijaringkan dari jarak 101 meter yang mana jika disahkan oleh Guinness World Records, jaringan dari pemain Argentina itu akan memecahkan rekod gol jarak jauh dalam sejarah.

Rekod semasa ialah 96.01 meter, yang dilakukan oleh Tom King pada 2021 semasa perlawanan antara Newport County dan Cheltenham Town dalam Liga divisyen keempat England.

Lebih menarik, selepas sahaja video tersebut dimuat naik di laman Tiktok Majoriti, ramai penyokong bola sepak tanah air mula menyebut satu nama legenda yang pernah menjaringkan gol dari kawasan mereka sendiri.

Penjaga gol yang dimaksudkan ialah Syamsuri Mustafa, bekas penjaga gol kebangsaan itu pernah melakukan jaringan sedemikian ketika mewakili pasukan negara pada kejohanan Sukan SEA 2003.

Keeper Malaysia dah buat. Awal lagi,” komen penyokong, chaenrito10.

“Syamsuri Mustafa dah buat dulu tapi gol yang dalam video ini jauh lebih sikit dari gol yang Shamsuri buat,” tambah seorang penyokong, zalzzo fc.

Ketika kejadian menakjubkan itu, pasukan negara menentang pasukan Vietnam dan Syamsuri melakukan sepak dari kawasan penaltinya sendiri dan bola tendangannya berhasil memasuki gawang lawan.

Jaringan ajaibnya itu menjadikan Syamsuri sebagai pejaga gol Asia pertama yang mencetak jaringan gol jarak jauh dan menduduki tempat keenam dunia pada 2021.

Syamsuri yang kini berusia 42 tahun pernah menyerlah sebagai antara penjaga gol terbaik negara dan dia juga pernah menerima Anugerah Penjaga Gol Terbaik Kebangsaan FAM pada 2006 sewaktu menyarung jersi Terengganu.

Bekas penjaga gawang Terengganu dan Pahang itu mengambil keputusan untuk bersara pada 2013 selepas dia mewakili Sabah selama semusim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram