Nak kekal imej KLIA bertaraf dunia cecah 100 tahun, ini 3 perkara utama perlu diatasi


  • Massa
  • Rabu, 08 Mac 2023

KLIA dibina dengan visi untuk memenuhi keperluan pertumbuhan negara selama 100 tahun.

TANGGAL 27 Jun ini menyaksikan genap 25 tahun operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sebagai mercu tanda yang menjadi pintu masuk utama negara, ciri gah pada rekaan binaan KLIA yang menonjolkan kemodenan dan kemajuan Malaysia itu sememangnya menjadi kebanggaan rakyat.

Malah lapangan terbang yang dibina dengan visi untuk memenuhi keperluan pertumbuhan negara selama 100 tahun itu juga pernah beberapa kali mendapat pengiktirafan sebagai antara lapangan terbang terbaik di dunia.

Terbaharu, kaji selidik global Airport Service Quality (ASQ) pada tahun 2021 meletakkan KLIA sebagai antara sembilan lapangan terbang terbaik di dunia.

Pengiktirafan oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) itu bagi kategori lapangan terbang yang menerimia penumpang tahunan melebihi 40 juta orang.

Penanda aras digunakan itu meliputi penilaian terhadap aspek kepuasan pelanggan keseluruhan bagi keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan.

An aerotrain leaving the Contcat Pier for the Satellite Building, KLIA. In the background is the OMSF building for future mainteance work for the Aerotrains.

Perkhidmatan aerotrain turut pernah mengalami beberapa kali kerosakan antara Disember 2015 dan September 2017.

Namun begitu, dengan usia sudah mencapai lebih dua dekad, perkhidmatan diberikan lapangan terbang utama negara itu kini dilihat semakin kerap menimbulkan rungutan daripada penumpang.

Pada 1 Mac lalu, seramai 114 penumpang terjejas dengan 10 daripadanya terlepas penerbangan selepas perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi atau aerotrain di lapangan terbang itu mengalami kerosakan.

Dalam video viral berkenaan kejadian tersebut, penumpang terlibat difahamkan terpaksa berjalan sejauh 400 meter di atas platfom di antara landasan ketika cuaca hujan.

Ekoran kejadian itu, ada antara pengguna sosial media menyifatkan insiden tersebut sebagai memalukan negara.

Untuk rekod, kejadian membabitkan perkhidmatan mengangkut penumpang antara dua terminal di lapagan terbang itu bukan kali pertama berlaku dan ia pernah mengalami beberapa kali kerosakan antara Disember 2015 dan September 2017.

Dalam pada itu, The Star pada Rabu melaporkan mengenai pandangan pemain utama industri pelancongan negara yang berpendapat KLIA perlu melalui proses pengubahsuaian besar-besaran terhadap kemudahan di lapangan terbang tersebut.

Menurut mereka, KLIA yang diuruskan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kini dilihat agak ketinggalan berbanding pesaing lain seperti Lapangan Terbang Changi, Singapura.

Katanya, antara rungutan sering diterima daripada pelancong adalah mengenai barisan pemeriksaan imigresen yang panjang, keadaan tandas dan kemudahan, pengangkutan terminal serta keadaan ruang menunggu dan tempat duduk.

Sehubungan itu, Majoriti menggariskan tiga perkara perlu ditambah baik bagi memastikan imej KLIA sebagai antara lapangan terbang terbaik tidak terus tercalar dengan insiden tidak sepatutnya.

1) Tingkatkan budaya penyelenggaraan

Less people at the departure hall area in KLIA during the RMCO yesterday. IZZRAFIQ ALIAS / The Star. June 20, 2020.

Menurut warganet, kelemahan KLIA bukan terletak tahap infrastrukturnya, namun lebih kepada aspek penyelenggaraan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata daripada pengguna sosial berpandangan tiada keperluan untuk mengubah suai KLIA bagi tujuan meningkatkan mutu perkhidmatannya.

Menurut mereka, kelemahan KLIA bukanlah terletak pada infrastruktur namun lebih kepada aspek penyelenggaraan.

"Ia bukan isu bangunan. Cuma pasukan (pengurusan) yang menyelenggaranya," kata Leong SK.

See Toh Choon Wan menulis,"Satu lagi kes kekurangan budaya penyelenggaraan. Buang yang ini dan beli satu lagi yang baharu," ujarnya yang merujuk kepada cadangan pengubahsuain besar-besaran KLIA.

2) Selesai isu perkhidmatan asas

A general situation view of crowd at Kuala Lumpur International Airport. Story on long queue and lots of crowd facing problem at the airport. — FAIHAN GHANI/The Star

Antara isu asas dihadapi pengguna di KLIA adalah barisan pemeriksaan imigresen yang panjang.

Sementara itu, Kein Kein pula berpandangan pihak pengurusan KLIA perlu memberi fokus untuk menyelesaikan perkhidmatan asas kepada penumpang berbanding keperluan mengubah suai lapangan terbang tesebut.

"Kembali kepada asas. Selesaikan tempoh pemeriksaan keselamatan dan imigresen yang lama, banyakkan kawasan rehat, tandas bersih, letakkan lebih banyak kakitangan perkhidmatan pelanggan, lebih banyak kedai makan berkualiti, naik taraf ruang istirahat premium dan aerotrain," ujarnya.

Cadangan ini dilihat lebih praktikal berbanding mengubah suai lapangan terbang yang pastinya memakan kos yang tidak sedikit.

Dalam keadaan negara berhadapan dengan isu kekangan kewangan untuk membuat perbelanjaan, langkah ini tentunya alternatif lebih baik untuk dipertimbangkan oleh pengurusan KLIA.

3) Terapkan minda kelas pertama dalam kalangan pekerja lapangan

Sementara itu, terdapat pengguna juga berpendapat MAHB seharusnya memberikan tumpuan untuk menaik taraf kualiti pengurusan dan perkhidmatan pelanggannya.

Menurut mereka, ada dalam kalangan pekerja dilihat tidak mencapai tahap profesionalisme yang sepatutnya setaraf dengan imej KLIA sebagai lapangan terbang antarabangsa.

"Kemudahan bertaraf dunia, mentaliti dunia ketiga. Tingkatkan sikap pekerja anda," kata Eric Goh.

"Ubah suai besar-besaran? Saya setuju. (Tapi) tangani sikap pekerja dan bukan yang lain. Itu akan menjadi pengubahsuaian paling utama," ujar Vincent Raj. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram