KENYATAAN Datuk Johari Abdul berhubung denda RM1,000 serta penggantungan ke atas Ahli Parlimen (MP) yang mengeluarkan kenyataan jelik bukan sahaja mendapat respons positif dalam kalangan pemimpin masyarakat, malah rakyat juga tidak terkecuali menyokong tindakan tegas tersebut.
Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat itu dilapor berkata, kenyataan jelik itu termasuk berbaur perkauman, diskriminasi jantina dan menghina dalam Dewan Rakyat.
Johari Abdul
Katanya, langkah itu antara pembaharuan yang akan dilaksanakan di Parlimen untuk menangani sikap segelintir Ahli Parlimen mengeluarkan kenyataan sedemikian terhadap Speaker, Timbalan Speaker atau rakan MP yang lain.
Memetik laporan media tempatan, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menyifatkan hukuman itu sebagai langkah penting dalam memastikan suasana perbahasan yang baik dan sopan oleh semua wakil rakyat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddi Alias berkata, hukuman itu sepatutnya sudah dikuatkuasakan sejak dahulu lagi, kerana kenyataan perkauman dan diskriminasi jantina mencetus kekecohan dalam kalangan Ahli Parlimen dan rakyat.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen menganggap, hukuman itu dapat memastikan Ahli Parlimen masih mengamalkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain, meskipun terdapat perbezaan pendapat antara blok kerajaan dan blok pembangkang.
Ujar Ammar Hassan: "Satu permulaan dan petanda baik agar Ahli Parlimen Malaysia lebih berdisiplin dan ikut peraturan Parlimen. Semoga berjaya."
Effendy Teoh menulis: "Reformasi dalam Parlimen dengan dikenakan denda RM1,000 bagi setiap perkataan lagi bagus supaya dapat 'menjinakkan' YB yang berperangai 'liar' dan tidak menghormati kemuliaan Dewan Parlimen."
Tambah Shafayzal Aziz: "Setuju. Tambahan lagi rakyat sekarang dah mula ambil kisah pasal politik. Beribu orang tengok live Sidang Parlimen tempoh hari."
Azman Ab Khalid berkata: "Kalau dah macam beruk memang patut rakyat kutuk pun. Konon Ahli Parlimen tapi terserlah perangai macam beruk tak reti beradab. Korang sendiri boleh tengok macam mana bila jadi pembangkang dulu."
Tulis Haji Norlizan: "Mudah-mudahan kera-kera dulu dah jadi manusia. Tapi, fitrah kera tu ada sifat kebinatangan. Susah juga nak cakap. Bagi la undang-undang apa sekalipun, mereka main langgar je."
Sultan Sharafuddin bergambar bersama lukisan memaparkan suasana Dewan Rakyat. — Facebook Selangor Royal Office
Pada April tahun lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membeli karya lukisan yang memaparkan Dewan Rakyat, yang dipenuhi haiwan seperti katak dan monyet.
Karya itu hanya menampilkan tiga wajah manusia seakan-akan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan dua kakitangan Parlimen.
Sebaliknya, kesemua tempat duduk dalam Dewan Rakyat diisi oleh haiwan-haiwan seperti katak, monyet, beruk dan gorila.
Difahamkan, lukisan itu seolah-olah menyindir kelakuan Ahli Parlimen yang berada di dalam Dewan Parlimen. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram