Ahli Parlimen 'mulut puaka' boleh kena denda RM1,000, gantung hingga 6 bulan


  • Primer
  • Isnin, 06 Feb 2023

Dewan Rakyat akan melalui pembaharuan sebelum persidangan bermula.

AHLI Parlimen yang didapati mengeluarkan kenyataan jelik termasuk berbaur perkauman, diskriminasi jantina dan menghina dalam Dewan Rakyat berdepan denda RM1,000 serta penggantungan, kata Datuk Johari Abdul.

Speaker Dewan Rakyat itu berkata, langkah itu antara pembaharuan yang akan dilaksanakan di Parlimen untuk menangani sikap segelintir ahli Parlimen mengeluarkan kenyataan jelik itu terhadap Speaker, Timbalan Speaker atau ahli Parlimen yang lain.

"Satu jawatankuasa khas akan dibentuk untuk memantau kelakuan ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat dengan garis panduan yang akan disediakan.

"Buat masa ini, denda RM1,000 sudah termaktub dalam Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, tetapi tidak pernah digunakan.

"Ahli Parlimen yang melanggar akta itu juga boleh digantung daripada menghadiri sidang Parlimen sehingga enam bulan tetapi ia jarang digunakan oleh Speaker terdahulu," katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, perkara tersebut turut dibincangkan bersama Speaker Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim dan jawatankuasa terbabit wujud di kebanyakan negara.

"Malah kita akan mengusulkan untuk menambah jumlah denda dalam pindaan akta itu," katanya.

Antara pembaharuan lain yang dicadangkan Johari adalah sesi Parlimen ditangguhkan sebelum pukul 8.30 malam selain membenarkan etika pemakain yang lebih santai tanpa perlu memakai tali leher sewaktu bersidang.

Beliau berkata, sesi Parlimen hingga lewat malam atau ke subuh disifatkan sebagai tidak produktif melainkan dalam soal perkara penting seperti Bajet.

Johari juga meminta ahli Parlimen untuk mengurangkan politiking dalam Dewan Rakyat dan menumpukan perhatian terhadap isu rakyat.

"Kita mengharapkan ahli Parlimen datang dengan kualiti kerana mereka mewakili rakyat, bukan parti. Jika mereka mahu bercakap tentang politik, lakukannya di luar dewan.

"Gaji dan elaun mereka dibayar oleh rakyat. Ia jumlah yang besar, jadi mereka perlu adil kepada rakyat," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram