'Speed' Arif Aiman diiktiraf 2 bekas bintang EPL


  • Podium
  • Isnin, 06 Feb 2023

Antara aksi Arif Aiman ketika mewakili JDT dalam kesebelasan utama menentang Lokomotiv Moscow ketika perlawanan persahabatan pramusim di Dubai, pada Khamis. — Facebook/JDT

PEMAIN sayap lincah Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi yang kini berada di kelasnya tersendiri tidak berhenti-henti membuat kejutan terutamanya dari segi peningkatan prestasinya bersama skuad Harimau Selatan.

Seperti baru-baru ini, Arif Aiman mencuri tumpuan apabila meledak gol kemenangan ketika JDT menentang Lokomotiv Moscow dalam aksi persahabatan di Stadium The Sevens, Dubai, pada Khamis.

Dalam perlawanan menentang pasukan yang bersaingan dalam liga divisyen satu Rusia itu, Arif Aiman dilihat membuat satu larian sebelum melepaskan rembatan yang mengelirukan pemain lawan.

Selain daripada jaringan yang membawa kemenangan kepada JDT itu, Arif Aiman sekali lagi mencuri tumpuan apabila kelajuannya mendapat pengiktirafan daripada dua bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dua bekas pemain EPL yang memuji kelajuan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia dua tahun berturut-turut itu ialah kereta kebal JDT iaitu Jordi Amat dan Shane Lowry.

WhatsApp Image 2023-02-06 at 00.21.29

Arif Aiman semakin cemerlang bersama JDT.

Menerusi video perkongsian dari laman rasmi JDT di Facebook, Lowry yang juga bekas tonggak Aston Villa dan Leeds United tidak ragu-ragu memilih Arif Aiman apabila di tanya siapakah pemain paling laju di JDT.

Begitu juga dengan bekas tanker Swansea City, Amat yang turut senada dengan Lowry apabila mengangguk tanda setuju bahawa tonggak berusia 21 tahun itu sebagai pemain terlaju di dalam kem Harimau Selatan.

Selain Arif Aiman, Amat juga memilih bek kiri kental JDT, Corbin Ong antara pemain terlaju di JDT.

Selain mereka berdua, rakan sepasukan JDT yang memilih Arif Aiman ialah Safiq Rahim, Feroz Baharudin, Syihan Hazmi, Fernando Forestieri dan Oscar Arribas.

Kecemerlangan Arif Aiman itu membuatkan ramai penyokong termasuk legenda Harimau Malaya, Datuk Jamal Nasir mencadangkan agar Arif Aiman bermain di saingan Eropah.

Sejak beraksi bersama JDT pada 2020, pemain itu mencetak 23 gol dan membuat sebanyak 23 hantaran bantun dalam 66 perlawanan dia diturunkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram