15 motosikal terbakar di parkir flat di Pulau Pinang


  • 112
  • Khamis, 02 Feb 2023

Kebakaran 15 buah motosikal yang berlaku Flat Tuna D4, Seberang Jaya, Pulau Pinang. — Facebook

SEBANYAK 15 buah motosikal yang diparkir di kawasan meletak kenderaan di Flat Tuna D4, Seberang Jaya, Pulau Pinang rentung dalam kejadian kebakaran pada awal pagi Khamis.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau sesiapa yang cedera dalam kejadian itu.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Shahrul Munawer Taharen berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.11 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai terus ke lokasi kebakaran.

"Sebaik tiba, pihak bomba mendapati 15 motosikal yang berada di kawasan parkir di situ sedang terbakar dan kami menjalankan operasi memadam api bagi mengelak kebakaran tersebut terus merebak ke kenderaan lain di situ.

"Sembilan motosikal terbakar lebih 95 peratus manakala selebihnya 50 peratus, kebakaran itu turut menyebabkan sebuah stor penyimpanan peralatan sembahyang berkeluasan 2.787 meter persegi yang dibina tidak jauh dari kawasan parkir musnah lebih 80 peratus," katanya.

Katanya, pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran itu pada 5.40 pagi dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram