NAMA pemain muda Sri Pahang FC, Lokman Bah Din semakin mencuri tumpuan penyokong skuad Tok Gajah terutamanya selepas persembahannya sewaktu sesi perlawanan persahabatan.
Pemain berasal dari Kampung Simoi Baru, Pos Betau, Lipis, Pahang itu melakar sejarah apabila menjadi pemain pertama orang asli yang menyertai skuad Tok Gajah.
Kejayaannya menyertai pasukan utama Sri Pahang itu menjadi motivasi supaya lebih ramai lagi anak-anak orang asli untuk bergiat aktif dalam bidang sukan di tanah air.
Menerusi satu perkongsian di Facebook penyokong Tok Gajah, Mat Lakim, pemain berusia 20 tahun itu mendedahkan matlamatnya bersama pasukan Sri Pahang pada musim ini.
Lokman berhasrat agar dia dapat membantu Sri Pahang membawa satu piala pada musim ini, selain dapat membanggakan keluarganya di Kampung Simoi Baru.
Persembahan Lokman sewaktu sesi pramusim mendapat pujian daripada penyokong Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang
Lebih mengharukan apabila bekas pemain skuad projek FAM-MSN itu memasang niat untuk membeli sebiji perahu bagi memudahkan urusan pergerakan setiap penduduk di kampungnya.
"Video call bersama pemain Sri Pahang semalam (Khamis). Sempat bertanya kepada Lokman Bah Din semalam. Apa matlamat dia di Sri Pahang, ALLAHU sungguh sebak saya mendengar jawapan dari Lokman.
"Eng (saya) nak dapat satu piala sekurang kurangnya dengan Sri Pahang musim ini, nak banggakan keluarga eng di Simoi. Nak banggakan nama suku kaum semai.
"Nak bantu kaum semai di Simoi mendapatkan sebiji perahu berenjinkan Yamaha 15 kuasa kuda untuk setiap keluarga insyaALLAH. Harapan eng cuma nak banggakan orang sekeliling eng.
"Nanti kalau ada masa eng nak buat joget di kampung (Padang Heli). Hek (awak) datang lah ye.’ - kata Lokman sambil tersenyum sebak. Sama sama kita doakan urusan Lokman dipermudahkan, amin insyaALLAH," kongsi penyokong berkenaan.
Jawapan dari Lokman itu membuatkan ramai penyokong sebak dengan niat murninya untuk membantu penduduk kampungnya dan mereka berharap agar dia berjaya menyinar bersama Sri Pahang.
Untuk rekod, selain pernah menimba pengalaman bersama skuad Projek FAM-MSN pada 2021, penyerang muda itu juga sempat beraksi untuk skuad Piala Presiden Pahang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram