
PENYERANG Thailand, Adisak Kraisorn membuktikan sentuhannya di depan pintu gol lawan masih tajam apabila membantu skuad Gajah Perang dalam kempen Piala AFF 2022.
Pemain berusia 31 tahun itu berjaya memperoleh dua gol peribadi, termasuk jaringan ketika berdepan skuad Harimau Malaya menerusi lapan penampilannya di kejohanan antarabangsa tersebut.
Persembahannya di pentas Piala AFF memberi kelegaan kepada penyokong Terengganu FC yang pada mulanya agak bimbang dengan prestasi Adisak.
Adisak mengisi kuota import Asean di Terengganu FC. — Facebook Changsuek
Ini memandangkan usia pemain itu bukanlah berada pada tahap kemuncak prestasi berbanding pada 2018 yang menyaksikan dia mengungguli anugerah penjaring terbanyak dengan lapan gol.
Hadir di Terengganu FC untuk mengisi kuota Asean, pemerhati sukan di Facebook, Analisis Bola Terengganu, melihat kuota tersebut djangka tidak diganggu oleh mana-mana pemain lain.
Bukan apa, Adisak dijangka akan mendapat banyak minit permainan yang dirasakan memadai untuk Terengganu FC bagi kuota Asean kelab tersebut musim ini.
Berhubung posisi dan peranan Adisak di Terengganu FC, ia masih menimbulkan teka-teki tentang bagaimana pengendali baharu, Tomislav Steinbruckner mahu merancang pasukannya berdasarkan acuan tersendiri, mengikut pemain dan taktikal.
Ivan Mamut pernah beraksi dengan kelab Steau Bucharest. — Terengganu FC
Ini kerana umum mengetahui skuad Sang Penyu memiliki penyerang yang gah profilnya iaitu Ivan Mamut memandangkan kelab terakhir pemain kelahiran Croatia itu adalah Steau Bucharest dari Romania yang beberapa kali beraksi di Liga Juara-Juara Eropah.
Dengan usia yang masih muda iaitu 25 tahun dan ketinggian fizikal 1.92 meter, aksi sulung Ivan Mamut di pentas Liga Super pastinya ditunggu-tunggu serta bakal menjadi perhatian peminat bola sepak tempatan.
Seorang lagi pemerhati sukan, Hyung Jack berasakan Adisak boleh menjadi hole player seperti yang pernah digalas penjaring terbanyak Liga Super 2010, Ashaari Samsudin dengan rekod 18 gol.
Menurutnya, peranan sebagai hole player itu disifatkan antara yang paling susah untuk dilihat dalam skuad Terengganu selama ini dan Adisak dirasakan boleh menghidupkannya kembali.
Ashaari pernah mendapat jolokan nama 'The Silent Killer' di Terengganu FC suatu ketika dahulu. — Facebook
Dengan corak permainan dan larian pantas Adisak melorong bola menewaskan lawan, dia boleh menjadi pengganti Ashaari yang pernah mendapat jolokan nama 'The Silent Killer' di Terengganu FC suatu ketika dahulu.
"Hole player ni banyak macam playmaker. Banyak cipta peluang, buat larian dari bawah ke depan untuk menyambut bola dan boleh cipta jaringan gol," katanya.
"Stail dia main lebih kepada umpan bola kepada penyerang, pandai lorong bola, dalam masa sama dia boleh backup striker untuk hasilkan gol. Tak mustahil nanti dia banyak akan lorongkan bola kepada Ivan Mamut," tambah Anishak Iaaso Outlet.
Terengganu FC dijadualkan akan menjalankan sesi pramusim dalam pertemuan derbi Pantai Timur dengan Kelantan United FC sebelum berdepan Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi Piala Sumbangsih. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram