BEKAS pemain sayap lincah Terengganu FC, Faisal Halim membuka buku baharu dengan menjernihkan keadaan antara dirinya dengan pengurusan Terengganu FC selepas tampil memohon maaf kepada pihak berkenaan.
Faisal menerusi satu ciapan di Twitter pada Rabu memohon maaf atas semua kekhilafan dan salah faham yang berlaku di antara dirinya dan pihak Terengganu FC.
Pemain dari Pulau Pinang itu turut memohon maaf serta berterima kasih kepada fans Sang Penyu yang sentiasa memberi sokongan kepada dirinya selama berkelana bumi Terengganu Darul Iman musim lepas.
"Setiap kebaikan datang dari ALLAH dan kekhilafan datang dari saya sendiri. Terengganu FC telah menjelaskan baki gaji saya," katanya dalam ciapan itu.
Tindakan Faisal Halim mempertahankan haknya mendapat pujian dan dirasakan wajar dicontohi pemain bola sepak lain.
Laman @Palatao_Bola membalas ciapan itu dengan komen berbunyi, "Tertegak hak dan batil. Semoga pemain lain jangan takut dapatkan hak mereka kembali," katanya.
"Kena bising dulu baru nak settlekan gaji. Itulah Malaysia. Apa apa pun, bagus Mickey (Faisal Halim) sebab membuka mata semua pihak," kata @nzrlshah pula.
"Kemah dohtu... hak demo keno tuntut boh !! kekhilafan tu biaso main dengan emosi. Duit boh nak bui make anok bini (Elok sangat dahtu... hak anda kena tuntut bos. Kekhilafan tu biasa main dengan emosi. Duit anda nak buat makan anak bini)," ciap @AimanShahir17.
Sebelum ini, Faisal Halim membuat ciapan di laman Twitter miliknya dengan menggunakan tanda pagar #PulangkanHakSaya dan perkara terbabit seperti menunjukkan urusannya dengan bekas majikan, Terengganu FC masih belum selesai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram